Sunday, September 19, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 14 ..Akhir

Penutup

Saya melihat sebahagian  kalangan yang memasarkan produk alternatif mereka kadang-kadang menghampiri kepada bentuk yang terdapat seperti yang diwar-warkan di Basilica Lourdes  atau  di Church of Lady Fatima atau pun orang-orang Hindu yang mandi di Sungai Gangga  dengan harapan sembuh.

Walaupun jualan ubat dan terapi alternatif ini tidak khurafat dari sudut syariat, tahap keyakinan kita terhadap ‘bukti’ kebanyakan kaedah dan peranti perubatan alternatif yang dimajukan sangat rendah kerana lagi sekali, hampir sama dengan ketidak-yakinan kita terhadap ‘rawatan air gangga’. Ia tidak cukup kuat dari sudut saintifik. Ia masih bersifat kabur.

Tiada dalil naqli yang sahih diutarakan dan tiada bukti saintifik bersumberkan kaedah kajian tabiat alam  yang kukuh dimajukan.  Dakwaan yang menyalahi fakta saintifik terus dijaja, maklumat yang menghampiri khurafat seperti penambahan aura dan tenaga dalaman terus digembar-gemburkan.

Hasilnya,  pembeli terpedaya dengan pujukan  petikan-petikan  testimoni terpilih yang mungkin berlaku hanya seratus kali dalam sepuluh ribu pengguna ubat atau kaedah terapi tersebut. Atau pembeli terpesona dengan nama-nama gelaran ‘bombastic’ orang yang merekacipta peranti atau terapi berkenaan.

Terdapat dua pihak di sini. 

Pertama, penjual yang tidak telus dan tulus menyatakan sifat barangan atau produk yang dijual, tidak terus-terang menyatakan had atau kelemahan produknya di samping dakwaan keupayaannya. 

Kedua, pengguna atau pembeli yang tidak tahu menilai samada produk atau barangan yang hendak dibeli tersebut boleh berfungsi atau beroperasi  seperti didakwa oleh sipenjual dengan yakin.  Pengguna akhirnya mengeluarkan wang beribu atau beratus ringgit untuk sesuatu  yang tidak sebenarnya berfungsi sepenuhnya sebagaimana didakwa, walaupun mereka membelinya dengan penuh keyakinan!

Fair Trading bukan ciptaan baru, bukan dari barat. Ianya telah lama dipelopori oleh syariat Islam.  Perlu ditekankan pelaksanaan syariat bermula dari diri dan keluarga, termasuk dalam muamalah dan transaksi jual-beli kita sehari-hari. Malangnya, asas  penting dalam jual beli Islam ini sering dikebelakangkan. 

Seperti yang saya nyatakan di dalam bahagian pengenalan siri ini, bukan tujuan saya untuk mengganggu-gugat bisness orang yang mahu menjalankan perniagaan dengan tulus dan ikhlas. Yang saya cuba lakukan ialah untuk mengajak pembaca berfikir dan menilai, samada sebagai penjual atau pembeli, sejauh manakah kita  menepati kehendak syariat dalam kita menjual atau membeli pelbagai produk, kaedah, peranti yang berada di pasaran.

Moga kita dapat benar-benar menilai, yang mana kaca, yang mana intan.
Allah sahajalah yang Maha Mengetahui Segala-galanya

Tamat

Wednesday, September 1, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 13

Bukti yang kabur dan tidak saintifik!
 
Cuba kita bandingkan dakwaan kehebatan serta  ‘bukti kabur’ yang diutarakan bagi produk-produk kesihatan dan makanan tambahan ini dengan apa yang mungkin boleh dipanggil ‘terapi Lourdes’, atau ‘teknik Lady Fatima’ atau   ‘rawatan air Ganga’  atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’.
 
Pastinya  kita tidak pernah dan tidak akan percaya akan kuasa penyembuhan yang ada pada Sungai Gangga atau Church of Lady Fatima . Walaupun terdapat kes-kes yang sering diceritakan mengenai ‘kejayaan’ penyembuhan, kita yakin bahawa ia tidak cukup signifikan untuk menjadi dalil dan bukti ‘kebenaran’ yang terdapat pada ‘terapi Lourdes’, atau ‘teknik Lady Fatima’ atau   ‘rawatan air Ganga’  atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’.
 
Islam tidak menerima khurafat ‘terapi Lourdes’, atau ‘teknik Lady Fatima’ atau   ‘rawatan air Ganga’  atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’ bukan sekadar ia bertentangan dengan syariat tetapi ia juga bertentangan dengan hakikat saintifik dan kaedah kajian sistematik tabiat alam.
 
Ia tidak saintifik. Ia  tidak mencapai tahap keyakinan statistik.
 
Menurut kaedah statistik, ‘bukti’ kejayaan  tersebut tidak boleh diterima kerana tidak cukup ‘significant’ yakni kejayaan tidak merupakan kebiasaan, kegagalan pula yang sering berlaku.
Dan kita yakin oleh kerana apa yang dibuat dalam Terapi Gangga atau di Church of Lady Fatima tidak sesuai dengan syariat Allah, ‘statistical significance’ tidak mungkin akan berlaku.  Hukum Allah dalam syariat-Nya tidak mungkin bercanggah dengan hukum Allah dalam alam semesta.
 
Salah satu konsep saintifik dalam mengesahkan sesuatu jumpaan sains ialah ‘repeatability’ atau ‘kebolehulangan’. Ini bermakna,  sesuatu itu dianggap benar dan diyakini sekiranya ia berlaku secara berulang-ulang; bukan sesuatu yang jarang-jarang berlaku.
 
Misalnya   bola yang dibaling ke udara akan jatuh semula ke bumi.  Misal lain, air laut masin dan menyebabkan karat pada besi.  Ini semua hukum alam (sunnatullah) yang berulang-ulang dan diyakini boleh berlaku secara pasti, kecuali kes-kes pengecualian khas seperti mukjizat,karamah dan seumpamanya yang amat jarang sekali berlaku.
 
Apa juga dakwaan untuk penyembuhan atau keberkesanan produk kesihatan juga perlu mencapai tahap repeatability sedemikian.  Hanya dengan tahap keyakinan sedemikian baru kita layak mendakwa keberkesanan dan keupayaan produk yang kita jual atau kita boleh percaya dengan produk yang kita beli.

Sunday, August 29, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 12

‘Bukti’ berdasarkan pengalaman seseorang individu selebriti atau ‘kesembuhan’ penyakit kronik.
Di samping testimoni terpilih, satu perkara lain yang hampir sama juga sering diutarakan oleh ejen penjual produk atau terapi kesihatan iaitu kisah kejayaan secara petikan kisah yang menakjubkan.  Biasanya ia berbentuk petikan satu peristiwa yang tertonjol mungkin kerana status selebriti yang terlibat atau mungkin kerana  ‘kesembuhan’  berlaku bagi penyakit yang kronik.
“Mr X yang mengidap lumpuh selama 20 tahun dapat berjalan semula sesudah memakan serbuk ini selama satu minggu!”... “ Seorang artis yang disahkan oleh doktor mengidap kanser payudara kini sihat seperti sedia kala apabila mengamalkan meminum kopi ini”.
Ia sama seperti testimoni  terpilih, menggembar-gemburka n ‘kejayaan’ yang sedikit berbanding  beratus kegagalan.  Cuba bandingkan  gembar-gembur ‘kejayaan’ ini dengan apa yang berlaku di kalangan orang-orang bukan Islam. 
Kita lihat contoh apa yang dibuat oleh mereka di Bandar Fatima di Portugal, Sungai Gangga  di India dan Basilica Lourdes di Perancis.
Church of Lady Fatima di Portugal sering dikunjungi oleh pesakit yang mengharapkan kesembuhan. Kononnya, di bandar Fatima ini,  Maryam ibu Nabi Isa pernah muncul pada awal abad ke 20.  Berbondong-bondonglah manusia dari seluruh dunia mencari keampunan dan kesembuhan, mengharapkan mukjizat.  Lagi sekali, memang terdapat kes yang sering diceritakan bahawa ibu sifulan atau  anak sifulan yang sembuh dari beberapa penyakit kronik. Inilah juga yang digembar-gemburkan sedangkan kisah 99% pengunjung lain yang tidak memperoleh apa-apa kesan  disenyapkan.
Di antara kisah yang  menarik ialah kesembuhan kepada suami Presiden Arroyo Macapagal.
Pada bulan Jun 2007, Presiden Filipina (ketika itu) tersebut dilaporkan sebagai mengunjungi Church of Lady Fatima untuk mengucapkan kesyukuran di atas kesembuhan bagi suaminya  Jose Miguel Arroyo yang mengidap sakit jantung.(lihat: Arroyo in Fatima thanks Our Lady for husband’s cure http://newsinfo. inquirer. net/breakingnews / nation/view_ article.php? article_id= 69721)
 Adakah dengan peristiwa kesembuhan Encik Jose Miguel Arroyo meyakinkan kita  bahawa lawatan ke Church of Lady Fatima mendatangkan kesembuhan?
Jika kisah ‘kesembuhan’ seseorang selebriti boleh   dijadikan ukuran kebenaran sesuatu ubat atau terapi, maka bolehlah dikatakan bahawa  ‘kejayaan’ Church of Lady Fatima di Portugal menyembuhkan suami Presiden Arroyo Macapagal ‘membuktikan’ kebenarannya! 
Pasti kita tidak boleh menerima hujjah atau 'bukti' sedemikian.
Pada bulan Januari 2007, berjuta-juta (mengikut satu laporan di BBC 60 juta orang!! Lihat http://news.bbc.co.uk/2/hi/south_asia/6274871.stm) orang Hindu dari seluruh dunia  bertumpu ke Sungai Gangga di Utara India. 
Mereka datang dari pelbagai pelusuk dunia, melaksanakan beberapa ritual di Sungai berkenaan dan membawa balik airnya dengan beberapa harapan; diampunkan dosa, dimakbulkan doa dan disembuhkan penyakit.
 
“Pilgrims bathed in the Ganges and took the water home with them from a belief in its curative and protective properties”  (The Ecology and Cosmology of Disease in the Banaras Region: http://content.cdlib.org/xtf/view?docId=ft6p3007sk&doc.view=content&chunk.id=d0e12404&toc.depth=1&anchor.id=0&brand=ucpress)
Memang benar, terdapat kisah (anecdotes) bahawa ada segelintir di kalangan jutaan manusia tersebut yang  sembuh dari beberapa penyakit setelah kembali ke kampung halaman. Kisah-kisah ini menjadi buah mulut,  menambah populariti ‘Sungai Gangga’.
Manusia yang dalam kesakitan buta kepada fakta bahawa jutaan pengunjung lain tidak memperoleh apa-apa kesembuhan.
Di Bandar Lourdes di Perancis pula, terdapat kolam matair yang juga dikatakan mempunyai mukjizat menyembuh penyakit kronik. Pelbagai kisah di utarakan mengenai ‘kehebatan’ mukjizat ini yang juga dikaitkan dengan kehadiran Maryam Ibu Nabi Isa di situ pada penghujung abad ke 19, misalnya  lihat: MIRACLES OF LOURDES, http://www.olrl.org/stories/lourdes.shtml
Dianggarkan 4-6  juta pengunjung setahun mendatangi Lourdes untuk kesembuhan pelbagai penyakit kronik ,( http:// www.sacredsites.com/europe/france/lourdes.html)
Berapa orangkah yang sembuh dari penyakitnya?
Mengikut laporan di dalam Student BMJ (terbitan British Medical Association), ramai orang mengaku sembuh akibat air kolam 'mukjizat'  Lourdes. Namun, kajian saintifik yang dijalankan mendapati  secara purata hanya 1.3 orang setahun (ya, tak sampai dua orang daripada jutaan pengunjung setahun) memperolehi kesembuhan yang mungkin boleh dikaitkan dengan penggunaan matair tersebut. (lihat http://student.bmj.com/issues/02/02/life/33.php).  Pihak Gereja sendiri hanya mengakui hanya 66 kali 'mukjizat' berlaku dalam tempoh lebih 100 tahun sejak 1858! 
Adakah anda boleh yakin dengan sesuatu yang berjaya menyembuhkan 2 orang daripada  berjuta orang  yang mengunjunginya setahun? 
Pasti anda katakan: “Tidak!”.
Tetapi percayalah, bagi pembela ‘terapi  Lourdes',  atau   ‘rawatan air Gangga’  atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’  ianya sudah cukup untuk diwar-warkan  sebagai ‘bukti’ yang boleh menyemarakkan  keyakinan pengguna keberkesanan produk mereka, lantas membolehkan mereka terus mengaut keuntungan berganda.
Begitu juga dengan penjual ubat, makanan kesihatan, penapis air, tonik, peranti urut, tilam, .. semuanya mengaku produk mereka boleh menyembuhkan.. walaupun mungkin hanya dua tiga orang pernah sembuh daripada beribu yang membeli dan  menggunakannya.

Saturday, August 21, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 11

Testimoni Pengguna terpilih! Adakah ini bukti saintifik, adakah ini dalil aqli?
Kaedah paling popular meyakinkan bakal pembeli ialah 'testimoni terpilih' (selected testimony).  Ada yang mengutarakan testimoni secara VCD, kaset audio, emel, laman web, petikan surat atau 'pengakuan' dalam edaran risalah. 
Adakah testimoni sedemikian boleh dianggap sebagai bukti kukuh? Adakah testimoni sedemikian boleh menjadikan dakwaan keberkesanan ubat atau produk mencapai tahap ‘yakin’?
Kebanyakan ‘testimoni’ seperti di atas  bukan bukti aqli. 
Ia bukan bukti saintifik tetapi hanyalah petikan ‘beberapa kejayaan’ tanpa menjelaskan peratus kejayaan berbanding kegagalan.  
Tidak diterangkan bahawa bilangan ‘kejayaan’ itu kecil berbanding ribuan ‘kegagalan’  di mana ramai pengguna  tidak memperoleh apa-apa kesan daripadanya kecuali kehilangan wang! 

Tektik 'not telling the whole truth'  digunakan, yang gagal tidak dinyatakan, yang 'berjaya' digembar-gemburkan. 
Adakah tektik ini berpaksikan hukum Islam?

Tidak dinyatakan jumlah sampel, tidak diberikan samada sipengguna yang berjaya hanya sanya menggunakan bahan atau produk berkenaan tanpa dicampuradukkan dengan penggunaan pelbagai ubat dan terapi yang lain.

Dari segi ilmiah, mengikut kaedah ilmu statistik, sekadar cebisan pengalaman baik segelintir pengguna  yang sering diutarakan di dalam testimoni tidak boleh dijadikan  dalil, hujjah atau bukti.

Ianya tidak ‘signifikan’ dan tidak saintifik kerana tiada bukti kesembuhan timbul ‘hanyasanya’ kerana penggunaan produk atau terapi berkenaan.
Dalam banyak keadaan, kesembuhan atau kemujaraban mungkin berlaku ketika sipesakit mengunakan pelbagai penawar, menjaga pemakanan dan mempunyai tahap kekuatan mental (mental strength) yang berbeza.  Sejauh mana dapat dipastikan bahawa hanyasanya terapi atau produk berkenaanlah yang menyebabkan kesembuhan tersebut?

Bagaimana boleh seseorang dengan yakin mengaku atau mendakwa atau membayangkan bahawa produknya memang akan membawa kesembuhan  bagi kes penyakit yang sama?

Oleh itu,  testimoni sedemikian tidak boleh diterima sebagai bukti yang meyakinkan, bukan sesuatu yang melebihi tahap dzhann, jauh dari menghampiri tahap yakin.


Lain kali ejen penjual cuba menjual produknya dengan menggunakan kaedah testimoni terpilih kepada anda, tanyakan ada beliau sendiri yakin bahawa testimoni ini betul-betul dibuat oleh orang berkenaan?

 
Tanyakan adakah beliau yakin tiada kemungkinan testimoni tersebut direka dan dikarang sendiri oleh syarikat yang nak mempercepatkan jualan produknya? 

 
Tanyakan adakah beliau tahu dengan pasti berapa peratus testimoni kejayaan ini berbanding  jumlah pengguna yang telah menggunakan produk beliau.

 
Tanyakan berapa sampel yang disoal-selidik, apakah instrumen yang digunakan dalam soalselidik tersebut? 

Tanyakan tidakkah pelik tiada testimoni yang negatif? 
Adakah beliau tahu berapa peratus testimoni yang memberikan pandangan negatif terhadap produk tersebut? 

Jika ia penjual yang ikhlas, yang kuat berpegang kepada prinsip agama dalam mu'amalah jual-beli, jika ia faham bahawa menyebarkan sesuatu tanpa  bukti  kukuh dilarang agama, maka pasti beliau  tidak akan terlalu beria-ia mempertahankan  produknya. 
Ia tahu bahawa tektik 'not telling the whole truth' untuk melariskan produknya  bertentangan dengan ajaran Islam.

Thursday, August 19, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 10

Jangan berhujjah dengan ketokohan perekacipta, apa lagi jika gelaran ‘tokoh’ itu sendiri diada-adakan

 
Bolehkah kita berhujjah dengan menggunakan nama seseorang? Adakah cukup  jika kita kata pembeli perlu yakin dengan produk berkenaan hanya  kerana perekacipta peranti (device), produk kesihatan  atau makanan tersebut adalah seorang doktor atau profesor? Atau kerana  ada doktor dan profesor yang telah menjadi penjual atau pelanggan?

Peribadi seseorang bukan hujjah.  Manusia bukan hujjah. Kita tidak boleh menerima bulat-bulat sesuatu hanya kerana ia dikatakan oleh sifulan atau sifulanah walau bagaimana besar dan tinggi pangkatnya.  Kita mesti minta bukti, naqli atau aqli.

Dalam urusan agama, kita tidak boleh menerima sesuatu amalan atau pendapat jika tidak dilandaskan kepada nas dan dalil; aqli atau naqli.  Kita tidak  boleh  menerima bulat-bulat pendapat/pandangan yang dibawa oleh seorang ustaz atau tokoh dalam hal ibadat tanpa mempersoalkan dalil dan hujjah beliau serta kaedah  atau cara beliau menyokong pendapat beliau, samada sesuai dengan kaedah (saintifik) usul-fiqh ataupun tidak.


Bahaya fenomena menerima tanpa soal saya huraikan dengan lanjut di sini: http://www.freewebs.com/omar60/bab7.htm

Begitu juga dalam hal muamalat, dalam hal menilai produk, peranti, terapi, teknik, bahan atau ubat komplementari, kita tidak boleh berhujjah hanya dengan ketokohan siperekacipta, apa lagi jika 'ketokohan' itu dicipta sendiri oleh siperekacipta dan orang-orang disekelilingnya.

Kadangkala, mereka menggunakan gelaran ‘Profesor’, ‘Dr.’, ‘Mahaguru’ etc. kepada siperekacipta ubat atau terapi tersebut, tanpa membuktikan Universiti mana yang menganugerahkan gelaran tersebut. Ada kemungkinan gelaran atau anugerah tersebut dicipta sendiri oleh siperekacipta yang kononnya ternama itu.
 
Memperagakan tokoh atau nama seseorang semata-mata tidak boleh diterima sebagai hujjah, baik dalam hal-hal ibadah atau  muamalat. Nama atau ketokohan seseorang, sekiranya tidak disokong dengan hujjah aqli atau naqli, tidak  membawa apa-apa makna.

Sunday, August 15, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 9

Contoh ‘bukti’ atau ‘hujjah’ yang sering diutarakan oleh penjual

Semalam saya mendapati dalam kotak surat saya satu risalah promosi 'ubat herba' bagi kesihatan wanita. Di bahagian belakang risalah tersebut, tertera 'bukti' keberkesanan ubat tersebut dengan menyenaraikan  testimoni pengguna yang kononnya telah berjaya setelah menggunakan produk berkenaan.

Testimoni terpilih (selected testimony) ialah salah satu kaedah yang sering dikemukakan  dalam hal produk-produk kesihatan, terapi alternatif dan makanan tambahan.  Soalnya, adakah ia sesuai dengan neraca Islam,  memenuhi  syarat dalil naqli atau hujjah aqli ?

Cuba kita petik di antara ‘bukti’ atau hujjah aqli yang lain yang sering digembar-gemburkan oleh ejen-ejen pemasaran produk-produk ini.
 
-         Rakan saya kata ia mujarab dan menyembuhkan penyakitnya.
-         Pak Cik saya yang lumpuh dapat berjalan semula.
-         Lihat ini senarai pesakit yang telah sembuh setelah menjalani  terapi ni.
-         Kawan dia kata emak dia pun sembuh sepenuhnya lepas minum jus ini.
-         Ubat ini berasal dari Amerika atau Eropah atau Jepun.
-         Produk ni dihasilkan oleh seorang Doktor atau Profesor.
-    Pencipta ubat ini telah dianugerahkan gelaran Mahaguru/Profesor (..oleh siapa?)
-         Datuk Dr. Mamat pun sekarang dah jadi ejen, tentu betul ubat ni bagus.
-         Syarikat ni adalah ahli kepada Persatuan Perubatan Terapi Gabungan Sedunia (satu nama yang nampak glamor tetapi sebenarnya tidak wujud atau persatuan kedai kopi saja).
-         Hasil penyelidikan mengenai produk ini diterbitkan di Jurnal Perubatan Alternatif Antarabangsa (lagi sekali satu Jurnal (konon) yang nampak glamor tetapi sebenarnya tidak wujud atau jurnal kedai kopi saja)
-     Lihat VCD/CD ni bukti testimoni pengguna yang telah berjaya sembuh.
-         Ubat ni dah ada kat internet, tentu bagus punya.
-     Peranti penjimatan minyak (fuel saving device) ini telah diuji di SIRIM, TESTED BY SIRIM!. (Tidak dinyatakan atau ditunjukkan bahawa hasil ujian SIRIM tersebut tidak pun  memberi kesimpulan positif  kepada  penggunaan peranti tersebut)

Anda nilailah sendiri. 
Sudahkah 'bukti' yang di atas itu menepati neraca Islam untuk dalil aqli atau naqli?  Adakah ia mencerminkan keikhlasan, kejujuran dan ketelusan yang ditunutut dalam transaksi jual-beli Islam?

Kita lihat bahawa kebanyakan di antara ‘bukti’ yang diutarakan  berbentuk tidak kukuh, tidak melepasi tahap keyakinan, tidak dapat dipertanggungjawabkan malah kadang-kala berunsur ‘penipuan’. 
Kadang-kadang ejen-ejen ini menyembunyikan hasrat sebenar dalam hati kecil mereka iaitu " ..saya lihat kawan saya tu dah jadi kaya dengan menjual produk ini, saya pun nak kaya juga macam dia, jadi awak cubalah, kalau awak beli saya akan dapat komisyen, awak..entahlah mujarab atau tidak, itu belakang kira lah..."

Tuesday, August 10, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 8

Pembuktian mesti ke tahap Yakin, jangan menyeleweng dari fakta yang dimaklumi umum.

Kes minuman tongkat Ali yang dihuraikan di dalam Laporan Khas Berita Harian dalam posting ke 7 lepas jelas menunjukkan perlunya kita berhati-hati dengan dakwaan tidak berasas, tanpa bukti oleh penjual yang ingin mengaut keuntungan.

Jika anda pembeli, pastikan kesahihan semua dakwaan. Jika anda penjual, bawalah bukti dan hujjah anda dengan jujur; bawa dalil naqli dan aqli.
Melalui dalil aqli, sekiranya seseorang ingin mendakwa keberkesanan  sesuatu produk, maka ia perlu membuktikan ke tahap yang yakin, atau setidak-tidaknya dzhan.
Anda perlu buktikan bahawa tahap keberkesanan atau kemujaraban sesuatu penawar atau terapi tersebut melebihi 75%. Ini bermakna,keberkesanan perlu berlaku pada sekurang-kurangnya  8 orang dari 10 orang yang mencubanya. 
Jika anda tidak mempunyai tahap keyakinan ini dalam produk anda; anda berdusta jika mengatakan produk yang anda jual boleh melakukan itu dan ini.
 
Dakwaan keupayaaan produk juga mesti tidak tersasar daripada fakta dan teori saintifik yang telah diterima umum kebenarannya.  Misalnya terdapat satu produk penapis air yang mendakwa boleh memecahkan molekul air kepada yang lebih kecil. 
Ini jelas palsu kerana molekul air H2O tidak boleh dikecilkan lagi melainkan menjadi atom hidrogen dan oksigen!   Malangnya fakta 'bombastik' tetapi menyeleweng sedemikian digunakan bagi menipu ‘orang kampung’.
 
Dakwaan yang bukan-bukan juga ialah dengan membawa konsep ‘aura’ atau ‘energised’.  Ini adalah sesuatu yang berdasarkan sangkaan dan , hampir serupa dengan kepercayaan karut  'karma' atau ‘feng shui’ yang sering diamalkan oleh manusia yang tidak mempunyai neraca Islam.
 
Air adalah air. Tenaga hanya wujud dalam bentuk-bentuk tertentu; tenaga kinetik, upaya, thermal dan seumpamanya.  Jika tenaga diberikan kepada air ia tidak dapat menyimpannya kecuali dalam salah satu bentuk yang termaklum. Air yang sekadar melalui sebuah penapis tidak mungkin dapat di’tenaga'kan atau ditambah tenaga.

Saturday, August 7, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 7

Khasiat Kopi Tongkat Ali di pasaran tidak memadai

Menurut Laporan Khas oleh Azrul Affandi Sobry dalam Berita Harian bertarikh 9 Mei 2007 yang bertajuk „kopi tongkat ali kurang khasiat kesihatan“ bahawa kebanyakan produk kopi campuran tongkat ali di pasaran didapati hanya mengandungi terlalu sedikit ekstrak herba itu dan langsung tidak memberi faedah kesihatan atau khasiat tambahan seperti yang didakwa pengeluarnya.

Kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) terhadap 10 jenama kopi tongkat ali popular di pasaran mendapati tujuh daripadanya mengandungi hanya 0.25 peratus hingga 1.6 peratus ekstrak herba itu dan tidak cukup untuk memberi manfaat kesihatan.

Pengarah Program Tumbuhan Ubatan FRIM, Dr Rasadah Mat Ali, berkata kandungan bahan aktif tongkat ali dalam minuman berkenaan pula hanya antara 0.0039 peratus hingga 0.0246 peratus atau 7.8 nanogram (ng) hingga 49.3ng, jauh daripada paras yang dapat memberi manfaat kesihatan.

Manusia normal yang berhasrat memperoleh khasiat tongkat ali perlu sekurang-kurangnya mengambil satu miligram (mg) bahan aktif tongkat ali bagi setiap kilogram (kg) berat badannya atau tidak lebih 3mg bagi setiap kg berat badan, sehari.

Contohnya, jika seseorang yang mempunyai berat badan 80kg, dia memerlukan minimum 80mg ekstrak tongkat ali sehari jika mahu memperoleh faedah daripada herba itu.

“Satu mg bersamaan dengan sejuta ng dan ini jelas menunjukkan kandungan ekstrak tongkat ali dalam kopi campuran yang diuji tidak sampai satu mg dan jauh lebih rendah daripada kadar minimum yang diperlukan.

“Justeru, penggunaan tongkat ali dalam minuman kopi campuran berkenaan sebenarnya tidak banyak membantu memberi manfaat daripada segi kesihatan, malah mungkin sia-sia saja,” kata Rasadah dalam satu temu bual dengan Berita Harian, di sini.

Rasadah berkata, tiga lagi jenama kopi campuran tongkat ali yang diuji FRIM gagal mengesan sebarang kandungan ekstrak bahan itu, mungkin kerana jumlahnya terlalu kecil atau memang tiada langsung bahan berkenaan.

Friday, July 30, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 6

Jika tiada dalil naqli, tunjukkan dalil aqli
 
Dalil aqli  ialah dalil berdasarkan rasional, fakta,  disiplin ilmu dan  kaedah ujian saintifik.  Disiplin ilmu dan kaedah saintifik bukan semestinya bermakna ‘ilmu sains’ tetapi yang dimaksudkan  ialah kaedah pengembangan dan pembinaan ilmu secara pengujian yang berulang dan  sistematik atau pembuktian secara mujarrabat
Ia bermula dengan keyakinan bahawa ciptaan Allah mempunyai cara dan sistem yang tetap, sunnatullah yang tidak berubah. 
 
Kecuali dalam kes-kes pengecualian akibat mukjizat dan seumpamanya, alam ciptaan Allah berjalan atas kaedah ‘sebab’ dan ‘akibat’.  Kaedah saintifik dari sudut pemerhatian, pengukuran, ujian  dan statistik adalah ilmu yang lahir dari kaedah pengembangan ilmu yang jitu ini.
 
Oleh itu misalnya kesan sesuatu bahan ke atas manusia boleh dijangkakan secara pasti. Misalnya hempedu pahit, gula manis, cuka masam, api membakar, air menghilangkan dahaga, antiseptik membunuh kuman dan paratacemol mengurangkan sakit. Ini hukum Allah yang semuanya terbukti secara saintifik, boleh diyakini akan berulang.
 
Setiap fakta atau dakwaan boleh dibuktikan sekiranya ia bertepatan dengan dalil aqli atau naqli.  Ini bermakna, jika seseorang mendakwa sesuatu, beliau mesti mendatangkan dalil samada dalil naqli atau aqli. 
 
Kita maklum bahawa dalil naqli dibawa dengan mengemukakan sumber nas atau dalil syar’ie yang sahih.  Dalil aqli pula perlu dibawa dengan membawa bukti satu proses pembuktian yang saintifik, teratur dan sistematik.

Monday, July 26, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 5

Bukti Naqli ada?
 
Jual beli perlu tulus dan telus.  Penjual perlu menceritakan hakikat sebenar produk, barangan atau perkhidmatannya, tanpa selindung, tanpa sembunyi. 
 
Islam tidak menerima dakwaan tanpa hujah,  tuntutan tanpa bukti.
 
Seseorang tidak boleh mengatakan sesuatu mengenai  seseorang tanpa bukti. Begitu juga, kita tidak boleh mengatakan  mengenai sesuatu hal, barangan atau produk tanpa bukti, tanpa dalil yang kukuh, tanpa memberikan sokongan yang kuat kepada dakwaan kita.
 
Bukti, dalil, keterangan atau hujjah untuk menyokong dakwaan sesuatu  produk mesti berasaskan salah satu daripada dua sumber; dalil, keterangan hujjah naqli atau hujjah, bukti berdasarkan aqli.
 
Dalil naqli ialah  sesuatu yang termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
 
Dalam konteks makanan kesihatan atau penawar yang kita bincangkan di sini,  terdapat beberapa produk di pasaran yang memenuhi syarat bukti bagi kategori dalil naqli, misalnya madu dan habbatussauda’ yang mempunyai dalil yang kuat thabit melalui ayat al-Quran ataupun Hadis Nabi (saw) yang sahih.
 
  Walaubagaimanapun, kita masih perlu berhati-hati dalam menilai madu dan habbatussauda’ yang kita beli; misalnya sejauh mana ketulenannya?   Ada madu bercampur sirap, ada susu dari lembu berpenyakit, ada serbuk yang kelihatan seperti habbatusauda’  tetapi rupa-rupanya bijan hitam!
 

Wednesday, July 21, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 4

Penjual produk 'ajaib' perlu kemukakan bukti

Kita tidak boleh mendakwa, menuntut atau mengutarakan sesuatu tanpa bukti.
Sepertimana yang kita boleh fahami dari hadis ke 33 dari Himpunan Hadis 40 Imam Nawawi.
Dari Ibnu Abbas radhiallahuanhuma, sesungguhnya Rasulullah (SAW) bersabda : Seandainya setiap dakwaan manusia diterima, niscaya setiap orang akan mengadukan harta suatu kaum dan darah mereka, karena itu (agar tidak terjadi hal tersebut) maka bagi pendakwa agar mendatangkan bukti dan sumpah bagi yang mengingkarinya
(Hadits hasan riwayat Baihaqi dan lainnya)
Islam mengutuk keras kita menerima kata-kata seseorang tanpa bukti yang kukuh dan kemas, samada hujjah alQuran dan Hadis atau fakta ilmiah.
Perlunya hujjah dan dalil yang kukuh bukan sekadar dalam bab-bab yang menyangkut urusan agama.  Ia juga menjadi prinsip penting dalam semua hal dalam urusan hidup manusia.  termasuk dalam hal penyebaran maklumat atau berita serta dalam hal memperihalkan barangan dan produk.


Oleh itu, kita selaku pengguna harus mengenakan neraca Islam dalam menilai produk-produk yang berlambak di pasaran. 

Di pihak yang lain, penjual pula harus juga memastikan perihal produk mereka diceritakan dengan jujur dan berasaskan maklumat yang benar dan sahih.
Di antara adab dan etika perniagaan  Islam ialah menerangkan perihal produk secara jujur, berterus terang, tidak berlebih-lebih dan tidak berdusta atau menyembunyikan perihal barangan yang mahu dijual. 

Alangkah malangnya sekiranya dalam keghairahan mengaut untung, penjual sanggup mendakwa sesuatu yang tidak sebenarnya ada pada barangan, produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.   

Mungkin dalam kebanyakan hal, penjual produk tidak berniat menipu tetapi mereka tidak sedar bahawa cara mereka mempromosi produk-produk mereka sebenarnya membayangkan produk mereka adalah ‘ajaib’, berupaya melakukan pelbagai perkara yang sebenarnya tidak ada pada produk mereka. 

Ini kerana mereka diajar  di dalam sesi-sesi latihan jualan oleh syarikat-syarikat mereka agar menceritakan  dan menggembar-gemburkan ciri-ciri ‘ajaib’ produk-produk berkenaan. 

Pembeli pula, dalam keadaan tersepit menghadapi masalah kesihatan  terus termakan pujuk rayu penjual tanpa mengira kesahihan dakwaan mereka. 

Monday, July 19, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 3

Islam menolak tahyul dan sangkaan dan dakwaan tanpa asas kukuh
 
Islam adalah agama rasional. Ia tegak berdasarkan hujjah dan ilmu.  Semua keyakinan dan pegangan hidup kita berdasarkan bukti dan keterangan yang sahih.
 
 Ia tidak tegak berasaskan sangkaan, atau dakwaan yang tidak berasas.
 
Di sana juga terdapat banyak ayat yang menyuruh kita berpegang kepada nas dan dalil yang terang dalam pegangan dan amalan kita.  Misalnya: Firman Allah bermaksud:
"Jangan kamu mengikut sesuatu yang kamu tiada ilmu/pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan  ditanyai (pertanggungjawabkan)".
                                                                        (al-Isra':36)
 
Islam tidak menerima sangkaan, tekaan, ramalan yang tidak berasas. 
 
Islam  menolak sama-sekali  semua kaedah yang berdasarkan sangkaan tanpa bukti kukuh.  Amalan seperti bertenung nasib, ramalan bintang, horoskop, ramalan urat tapak tangan, feng shui, numerologi,  konsep tarikh lahir Islam, dan konsep keserasian nama adalah tahyul dan khurafat yang ditolak. 
 
Islam membenteras sangkaan yang bukan-bukan, dakwaan tanpa hujah, mengikut atau berpegang dengan sesuatu tanpa ilmu atau pengetahuan.
 
Perbincangan lanjut mengenai keperluan kembali kepada bukti, hujjah dan dalil boleh dilihat di:
 
Islam tidak mahu umatnya mengikut, berpegang atau percaya kepada sesuatu yang tidak jelas, yang kabur.
 
Dalam bab jual beli produk, Islam tidak membenarkan kita menyebarkan sesuatu yang tidak pasti,  mengemukakannya pula kepada orang lain seolah-olah ia sesuatu kebenaran hakiki, apa lagi menjualnya kepada orang lain dengan harga yang terlalu tinggi seolah-olah itulah penawar ‘ajaib’ yang dinantikan!

Sunday, July 18, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 2

Jual Beli dalam Islam perlu Telus dan Tulus!
 
Anda pasti boleh menyebutkan  berbelas jenis kopi berkhasiat,  sepuluh jenis teh,  berpuluh jenis makanan tambahan, berjenis-jenis madu, beberapa jenis susu, pelbagai jenis penapis air.  Anda dengan mudah boleh menyenaraikan berpuluh produk yang didakwa boleh menyembuhkan penyakit-penyakit  kronik seperti barah, darah tinggi, kencing manis, malah AIDS.  Dengan dakwaan tersebut,  pengeluar, pengedar dan penjualnya tidak segan-silu untuk meletakkan harga yang tinggi, kebanyakannya tidak munasabah.  
 
Berhadapan dengan pelbagai jenis produk ini, seseorang pengguna mungkin keliru dan serba-salah,  bingung dan  terpinga-pinga, mungkin termakan pujuk rayu dan tawaran yang dianggap istimewa.
 
Ya, kesihatan adalah segalanya dan manusia sanggup berbelanja untuk memperolehinya.  Tetapi dalam ribuan pilihan yang berada di pasaran, yang mana yang boleh diharap, yang mana yang boleh diyakini?
 
Di sebalik kekeliruan dan kekaburan ini, Islam memberi panduan  yang jelas kepada umatnya.
 
Terdapat dua perkara yang perlu kita jadikan panduan.
 
i.                     Prinsip jual-beli Islam yang harus dipatuhi.
ii.                   Prinsip Islam dalam menentukan  kesahihan sesuatu dakwaan atau meyakinkan orang lain mengenai sesuatu.
 
Islam mempunyai  prinsip jual-beli yang tidak boleh dike sampingkan; walau apa juga produk atau perkhidmatan yang kita perdagangkan. Di  antara  prinsip yang penting dalam hubungan ini ialah ketelusan dan ketulusan si penjual dan sipembeli.
 
Hakim bin Hizam berkata  Nabi saw bersabda: Penjual dan pembeli memiliki hak  selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan mau menerangkan (keadaan barang), mereka akan mendapat berkah dalam jual beli mereka. Dan jika mereka bohong dan menutupi (cacat barang), akan dihapuskan keberkahan jual beli mereka.
(Hadis riwayat Muslim)
 
Dalam Hadis yang lain  Ibnu Umar ra. Meriwayatkan Seorang lelaki melaporkan kepada Rasulullah saw. bahwa ia tertipu dalam jual beli. Maka Rasulullah saw. bersabda: Katakanlah kepada orang yang kamu ajak berjual-beli: Tidak boleh menipu! Sejak itu jika ia bertransaksi jual beli, ia berkata: Tidak boleh menipu!
(Hadis Riwayat Muslim)
 
 Dalam memastikan ketulusan, penjual perlu menerangkan dengan jujur dan benar dengan keupayaan produk beliau, berdasarkan bukti, hujjah dan alasan yang kukuh.

Saturday, July 17, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 1

TERAPI DAN PRODUK KESIHATAN ALTERNATIF: YANG MANA KACA YANG MANA INTAN? 

gambar hiasan

 


Berikut saya bentangkan satu siri artikel mengenai bagaimana kita menilai pelbagai produk dan terapi alternatif yang terdapat di pasaran. Bukan tujuan saya untuk memperkecilkan pasaran produk berkenaan tetapi saya akan utarakan kaedah asas dalam jual-beli dan applikasinya dalam jualan produk-produk berkenaan.

Artikel saya ini tidak sedikit pun mahu memperkecilkan alternative atau complementary medicine, yang telah terbukti misalnya acupuncture.  Dan saya juga tidak berhajat untuk memperkecilkan kesan do'a  atau karamah yang kadang-kadang dianugerahkan Allah kepada manusia-manusia terpilih.

Yang saya cuba utarakan ialah bagaimana perspektif sebenar dalam menilai produk-produk yang berselerak di pasaran; yang mana yang betul, yang mana tidak,  yang mana berkesan, yang mana 'auta',
yang mana yang intan yang mana kaca,

Sebabnya sekarang terdapat pelbagai macam produk dan kebanyakannya tidak mempunyai sejarah beribu tahun, mungkin baru sebulan dua ni timbul. Bahkan di antara yang sudah terbukti ratusan tahun seperti acupuncture dan tongkat Ali itu pun, ada lagi unsur penipuan...apa lagi produk baru lain yang didakwa boleh melakukan pelbagai keajaiban seperti menyembuhkan kanser dan lumpuh?

Kita perlu berhati-hati, kerana ada pula di antara sistem jualan produk ini  sebenarnya hanya sekadar topeng selindung bagi skim haram cepat kaya. Yang dicari oleh SEBAHAGIAN penjual dan pengedar  ialah kereta BMW atau Toyota Vios, bukan ikhlas berniaga sebagai usahawan sebenar dengan memasarkan produk yang bermutu  dan menjual sesuatu yang benar-benar memenuhi apa yang didakwa olehnya.

Friday, May 28, 2010

Pedoman AlQuran 109


Kita dilarang menjadikan musuh-musuh Islam sebagi teman rapat:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.
                                         (Surah Almaidah: 51)

Saturday, May 8, 2010

Pedoman AlQuran 108

Semua perkara perlu diputuskan mengikut apa yang diturunkan oleh Allah. Allah menurunkan musibah disebabkan sebahagian dosa-dosa manusia. Tiada pilihan bagi orang Islam kecuali hukum yang diturunkan oleh Allah.

    Dan hendaklah kamu memutuskan perkara diantara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kemu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (Surah AlMaidah. 49-50)

Monday, April 19, 2010

Letusan Eyjafjallajokull gegar ekonomi dunia


a


Kesan abu gunung berapi Iceland lebih buruk daripada yang dijangkakan. Abu yang muncul akibat letusan gunung tersebut telah melumpuhkan sistem pengangkutan udara Eropah.
International Air Transport Association (IATA) meramalkan syarikat-syarikat penerbangan menanggung kerugian pendapatan US$200 juta sehari. Ini tidak termasuk kos-kos lain melibatkan pejadualan semula dan penggunaan lencongan. Mungkin sebahagian syarikat akan terpaksa gulung tikar jika keadaan ini berterusan.


Kesan sebenar kepada ekonomi ialah kebekuan ekonomi akibat ketiadaan pengangkutan udara, bukan sekadar di Eropah malah di seluruh dunia. Tanpa pengangkutan udara, manusia tidak dapat bergerak untuk melaksanakan tugas masing-masing, mesyuarat tidak berjalan, pertemuan terpaksa dibatalkan, persidangan dan perhimpunan besar terpaksa ditangguhkan. Sektor perkhidmatan dan pelancongan akan terjejas, tempahan hotel dan pusat peranginan terpaksa dibatalkan, kontrak tidak dapat dipenuhi.


Pengangkutan barangan tidak dapat dilaksanakan, produk bernilai tinggi tidak bergerak, produk pertanian tidak dapat dihantar dengan segera, penghantaran produk kesihatan, perubatan dan saintifik tertangguh, sistem courier dan pos ekspres menjadi kelam kabut, alat ganti mesin dan kilang tidak dapat diperoleh.


Dalam surah ad-Dukhan, kita telah diberikan amaran bahawa kedatangan asap/kabut dari langit adalah sesuatu yang mengazabkan.


”Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata. Yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih. (Mereka berdoa): "Ya Rabb kami, lenyapkanlah daripada kami azab itu. Sesungguhnya kami akan beriman.”
(Ad-Dukhan 44: 10-12)


Kita tidak mengatakan abu gunung berapi Eyjafjallajokull inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini, tetapi yang penting, amaran Allah bahawa asap/kabut dari langit itu adalah salah satu azab bagi manusia dan merupakan salah satu tanda kedatangan kiamat.
Muslim perlu sentiasa sedar bahawa fenomena alam adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.


”Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”
(Ali Imran 3: 190]


Bagi kita, letusan gunung berapi serta luapan abu terjadi dengan kudrat dan iradat Allah. Jelas kepada kita bahawa kuasa Allah jauh lebih tinggi, lebih hebat mengatasi kekerdilan teknologi ciptaan manusia. Kapal terbang manusia yang dianggap canggih tidak dapat terbang dan berfungsi hanya kerana satu letusan daripada salah satu gunung berapi. Begitulah lemahnya manusia berbanding yang Maha Esa.


Terbit di: http://malaysiaharmoni.com


Friday, April 9, 2010

Pedoman AlQuran 107

Hukum diturunkan untuk dilaksanakan.  Allah telah menetapkan syariat bagi setiap umat. Berlumba-lumbalah untuk melakukan kebajikan kerana semua kita akan kembali kepada-Nya.



Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. [Surah Almaidah: 48]

Sunday, March 21, 2010

Hidayah ngetop di Johor!! Jom kita pakat Derma

Salam,

Berikut kedudukan Sekolah Menengah islam Hidayah  di kalangan Top Ten  Schools di  Daerah JB dan  Top 5 Religious Schools  seluruh negeri Johor.

Sekolah ini dalam proses pembinaan bangunan baru dan sedang mencari penderma.

Bantuan anda diperlukan untuk memartabatkan Pendidikan Islam.

Mari kita tanam saham akhirat .

Maklumat lanjut, ziarahilah  Laman Dana Sekolah Hidayah:
                                    http://dana.hidayah.edu.my

Apabila mati anak Adam, semua amalnya terputus kecuali sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakannya.

_____________________

10 teratas, Sekolah-sekolah di Daerah Johor Bahru.

                                                                              GPS
1. Sekolah Tun Fatimah, STF                                 1.29 (no. 4, nasional)
2. SMK Infant Jesus Convent                                 1.40 (no. 9, nasional)
3. SMK Sultan Ismail, SIS                                      2.21
4. Sekolah Menengah Islam Hidayah, SMIH   2.24
5. SMK Mohd Khalid (20 pelajar)                          2.35
6. SM Teknik J.B.                                                   2.65
7. SMK(P) Sultan Ibrahim, SIGS                            2.72
8. SMKA Johor Bahru                                            2.94
9. Maktab Sultan Abu Bakar, EC                            3.71
10.SMV Azizah                                                       3.72

5 teratas, Sekolah-sekolah Agama  di Negeri JOHOR.

                                                                                 GPS 
1. Sekolah Menengah Islam Hidayah, SMIH       2.24
2. SMKA Maahad, Muar.                                         2.88
3. SMKA Johor Bahru                                              2.94
4. SMKA Segamat                                                    3.16      
5. SMKA Kerajaan Johor, Kluang                            3.38

wassalam

Pedoman AlQuran 106

Berhati-hati jangan sampai mengkesampingkan hukum Allah, kerana sifat orang beriman ialah akur dengan hukum Ilahi dan melaksanakannya tanpa takut pada manusia.



Dan (sungguh menghairankan), bagaimana mereka meminta keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling pula sesudah itu (dari hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.

Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. 

[Surah AlMaidah: 43-47]

Tuesday, March 9, 2010

Kita makan untuk hidup atau hidup untuk makan?


Berikut adalah satau aturcara bagi satu program Bengkel yang diadakan oleh sebuah Jabatan Kerajaan.
ATURCARA HARI PERTAMA
6.00 pagi      
Solat Subuh
7.00 pagi      
Sarapan
8.00 pagi
Kehadiran para peserta
8.30 pagi
PEMBENTANGAN I
                             
Sesi Soal Jawab
10.30 pagi
Rehat & Kudapan
11.00 pagi
PEMBENTANGAN II
12.15 tgh
Makan Tengahari & solat Zuhur
2.15 ptg
PEMBENTANGAN III
4.00 ptg
RUMUSAN HARI PERTAMA
4.30 ptg
Minum Petang
               
Solat Asar
               
Rehat
7.00 mlm       
Makan Malam
               
Solat Maghrib
               
Solat Isha
9.00 mlm       
BENGKEL
10.30 mlm        
Supper

Ia aturcara  ‘typical’ bagi setiap  program  kursus, seminar, retreat, persidangan atau latihan yang seumpama  itu yang biasanya dianjurkan di hotel-hotel atau resort.
Apa yang anda nampak menonjol dari aturcara tersebut?
Ya.. makan 6 kali sehari; sarapan, kudapan, makan tengahari,  minum petang, makan malam dan supper.
Kadang-kadang saya hairan dengan penganjur yang  menyediakan  begitu banyak sajian. Yang hairan lagi ialah peserta, mereka makan setiap kali masa makan, kalau enam kali makan disediakan, enam kalilah mereka ‘taram’.    Kalau teh/kopi disediakan  enam kali, enam cawan teh/kopi susu yang mereka teguk.
Puh!! Kat mana nak letakkan semua tu?
Ini tabi’at biasa rakyat Malaysaia.  Sudah dibudayakan.
Kita dah budayakan sesi teh tarik  di kedai mamak, pekena nasi lemak di waktu malam,  bergelas-gelas kopi/the susu  diminum sambil  bersorak menonton pasukan bolaseak EPL bertarung di wide-screen.
Kesannya,  penyakit berasaskan terlebih makan (overeating) menjadi pembunuh nombor  satu negara. Kalau  di negara miskin Afrika ramai yang mati kerana kurang makan (malnutrition), di Malaysia, kita ramai pulak yang mati terlebih makan (overeating)

Banyak makan akan menyebabkan kegemukan.  Kegemukan akan mendatangkan pelbagai penyakit. Kebanyakan penyakit yang berat-berat berkaitan rapat dengan tabiat pemakanan; kencing manis, darah tinggi, serangan jantung, angin ahmar dan sebagainya.
Mengikut  kajian Jabatan Nutrisi dan Pemakanan UKM pada tahun 2002, (http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/12164473)
“… The National Health Morbidity Survey data revealed that in adults, 20.7% were overweight ..; the prevalence of obesity was clearly greater in women than in men. ..Urban male subjects consumed significantly more energy than their rural counterparts, but this was not the case in women. .. current nutrition and health surveys reveal that Malaysians are already affected by western health problems. The escalation of obesity, once thought to be an urban phenomenon, has now spread to the rural population at an alarming rate. As Malaysia proceeds rapidly towards a developed economy status, the health of its population will probably continue to deteriorate.
Ya, ia amat merisaukan.  Seperti dilaporkan oleh  New Straits Times  10 Feb 2010,
“…Health Minister Datuk Seri Liow Tiong Lai said obesity is becoming the major health issue with the number of obese people almost tripling in the past 15 years from four per cent in 1996 to 14 per cent in 2010.  “
Sampai masanya kita review tabiat pemakanan kita. 
Kalau  kita disogokkan dengan makanan di dalam bengkel, seminar, kursus atau majlis-majlis lain , bertanyalah dulu ..” adakah  aku perlu makan?”.   Mungkin elok kita ingatkan diri kita pesanan Nabi (saw)yang  mengingatkan kita  agar “ makan hanya apabila lapar, dan berhenti sebelum kenyang.”  Lagipun, sepatutnya  “kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan”.