Wednesday, September 1, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 13

Bukti yang kabur dan tidak saintifik!
 
Cuba kita bandingkan dakwaan kehebatan serta  ‘bukti kabur’ yang diutarakan bagi produk-produk kesihatan dan makanan tambahan ini dengan apa yang mungkin boleh dipanggil ‘terapi Lourdes’, atau ‘teknik Lady Fatima’ atau   ‘rawatan air Ganga’  atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’.
 
Pastinya  kita tidak pernah dan tidak akan percaya akan kuasa penyembuhan yang ada pada Sungai Gangga atau Church of Lady Fatima . Walaupun terdapat kes-kes yang sering diceritakan mengenai ‘kejayaan’ penyembuhan, kita yakin bahawa ia tidak cukup signifikan untuk menjadi dalil dan bukti ‘kebenaran’ yang terdapat pada ‘terapi Lourdes’, atau ‘teknik Lady Fatima’ atau   ‘rawatan air Ganga’  atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’.
 
Islam tidak menerima khurafat ‘terapi Lourdes’, atau ‘teknik Lady Fatima’ atau   ‘rawatan air Ganga’  atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’ bukan sekadar ia bertentangan dengan syariat tetapi ia juga bertentangan dengan hakikat saintifik dan kaedah kajian sistematik tabiat alam.
 
Ia tidak saintifik. Ia  tidak mencapai tahap keyakinan statistik.
 
Menurut kaedah statistik, ‘bukti’ kejayaan  tersebut tidak boleh diterima kerana tidak cukup ‘significant’ yakni kejayaan tidak merupakan kebiasaan, kegagalan pula yang sering berlaku.
Dan kita yakin oleh kerana apa yang dibuat dalam Terapi Gangga atau di Church of Lady Fatima tidak sesuai dengan syariat Allah, ‘statistical significance’ tidak mungkin akan berlaku.  Hukum Allah dalam syariat-Nya tidak mungkin bercanggah dengan hukum Allah dalam alam semesta.
 
Salah satu konsep saintifik dalam mengesahkan sesuatu jumpaan sains ialah ‘repeatability’ atau ‘kebolehulangan’. Ini bermakna,  sesuatu itu dianggap benar dan diyakini sekiranya ia berlaku secara berulang-ulang; bukan sesuatu yang jarang-jarang berlaku.
 
Misalnya   bola yang dibaling ke udara akan jatuh semula ke bumi.  Misal lain, air laut masin dan menyebabkan karat pada besi.  Ini semua hukum alam (sunnatullah) yang berulang-ulang dan diyakini boleh berlaku secara pasti, kecuali kes-kes pengecualian khas seperti mukjizat,karamah dan seumpamanya yang amat jarang sekali berlaku.
 
Apa juga dakwaan untuk penyembuhan atau keberkesanan produk kesihatan juga perlu mencapai tahap repeatability sedemikian.  Hanya dengan tahap keyakinan sedemikian baru kita layak mendakwa keberkesanan dan keupayaan produk yang kita jual atau kita boleh percaya dengan produk yang kita beli.

No comments:

Post a Comment