Di samping testimoni terpilih, satu perkara lain yang hampir sama juga sering diutarakan oleh ejen penjual produk atau terapi kesihatan iaitu kisah kejayaan secara petikan kisah yang menakjubkan. Biasanya ia berbentuk petikan satu peristiwa yang tertonjol mungkin kerana status selebriti yang terlibat atau mungkin kerana ‘kesembuhan’ berlaku bagi penyakit yang kronik.
“Mr X yang mengidap lumpuh selama 20 tahun dapat berjalan semula sesudah memakan serbuk ini selama satu minggu!”... “ Seorang artis yang disahkan oleh doktor mengidap kanser payudara kini sihat seperti sedia kala apabila mengamalkan meminum kopi ini”.
Ia sama seperti testimoni terpilih, menggembar-gemburka n ‘kejayaan’ yang sedikit berbanding beratus kegagalan. Cuba bandingkan gembar-gembur ‘kejayaan’ ini dengan apa yang berlaku di kalangan orang-orang bukan Islam.
Kita lihat contoh apa yang dibuat oleh mereka di Bandar Fatima di Portugal, Sungai Gangga di India dan Basilica Lourdes di Perancis.
Church of Lady Fatima di Portugal sering dikunjungi oleh pesakit yang mengharapkan kesembuhan. Kononnya, di bandar Fatima ini, Maryam ibu Nabi Isa pernah muncul pada awal abad ke 20. Berbondong-bondonglah manusia dari seluruh dunia mencari keampunan dan kesembuhan, mengharapkan mukjizat. Lagi sekali, memang terdapat kes yang sering diceritakan bahawa ibu sifulan atau anak sifulan yang sembuh dari beberapa penyakit kronik. Inilah juga yang digembar-gemburkan sedangkan kisah 99% pengunjung lain yang tidak memperoleh apa-apa kesan disenyapkan.
Di antara kisah yang menarik ialah kesembuhan kepada suami Presiden Arroyo Macapagal.
Pada bulan Jun 2007, Presiden Filipina (ketika itu) tersebut dilaporkan sebagai mengunjungi Church of Lady Fatima untuk mengucapkan kesyukuran di atas kesembuhan bagi suaminya Jose Miguel Arroyo yang mengidap sakit jantung.(lihat: Arroyo in Fatima thanks Our Lady for husband’s cure http://newsinfo. inquirer. net/breakingnews / nation/view_ article.php? article_id= 69721)
Adakah dengan peristiwa kesembuhan Encik Jose Miguel Arroyo meyakinkan kita bahawa lawatan ke Church of Lady Fatima mendatangkan kesembuhan?
Jika kisah ‘kesembuhan’ seseorang selebriti boleh dijadikan ukuran kebenaran sesuatu ubat atau terapi, maka bolehlah dikatakan bahawa ‘kejayaan’ Church of Lady Fatima di Portugal menyembuhkan suami Presiden Arroyo Macapagal ‘membuktikan’ kebenarannya!
Pasti kita tidak boleh menerima hujjah atau 'bukti' sedemikian.
Pada bulan Januari 2007, berjuta-juta (mengikut satu laporan di BBC 60 juta orang!! Lihat http://news.bbc.co.uk/2/hi/south_asia/6274871.stm) orang Hindu dari seluruh dunia bertumpu ke Sungai Gangga di Utara India.
Mereka datang dari pelbagai pelusuk dunia, melaksanakan beberapa ritual di Sungai berkenaan dan membawa balik airnya dengan beberapa harapan; diampunkan dosa, dimakbulkan doa dan disembuhkan penyakit.
“Pilgrims bathed in the Ganges and took the water home with them from a belief in its curative and protective properties” (The Ecology and Cosmology of Disease in the Banaras Region: http://content.cdlib.org/xtf/view?docId=ft6p3007sk&doc.view=content&chunk.id=d0e12404&toc.depth=1&anchor.id=0&brand=ucpress)
Memang benar, terdapat kisah (anecdotes) bahawa ada segelintir di kalangan jutaan manusia tersebut yang sembuh dari beberapa penyakit setelah kembali ke kampung halaman. Kisah-kisah ini menjadi buah mulut, menambah populariti ‘Sungai Gangga’.
Manusia yang dalam kesakitan buta kepada fakta bahawa jutaan pengunjung lain tidak memperoleh apa-apa kesembuhan.
Di Bandar Lourdes di Perancis pula, terdapat kolam matair yang juga dikatakan mempunyai mukjizat menyembuh penyakit kronik. Pelbagai kisah di utarakan mengenai ‘kehebatan’ mukjizat ini yang juga dikaitkan dengan kehadiran Maryam Ibu Nabi Isa di situ pada penghujung abad ke 19, misalnya lihat: MIRACLES OF LOURDES, http://www.olrl.org/stories/lourdes.shtml
Dianggarkan 4-6 juta pengunjung setahun mendatangi Lourdes untuk kesembuhan pelbagai penyakit kronik ,( http:// www.sacredsites.com/europe/france/lourdes.html)
Berapa orangkah yang sembuh dari penyakitnya?
Mengikut laporan di dalam Student BMJ (terbitan British Medical Association), ramai orang mengaku sembuh akibat air kolam 'mukjizat' Lourdes. Namun, kajian saintifik yang dijalankan mendapati secara purata hanya 1.3 orang setahun (ya, tak sampai dua orang daripada jutaan pengunjung setahun) memperolehi kesembuhan yang mungkin boleh dikaitkan dengan penggunaan matair tersebut. (lihat http://student.bmj.com/issues/02/02/life/33.php). Pihak Gereja sendiri hanya mengakui hanya 66 kali 'mukjizat' berlaku dalam tempoh lebih 100 tahun sejak 1858!
Adakah anda boleh yakin dengan sesuatu yang berjaya menyembuhkan 2 orang daripada berjuta orang yang mengunjunginya setahun?
Pasti anda katakan: “Tidak!”.
Tetapi percayalah, bagi pembela ‘terapi Lourdes', atau ‘rawatan air Gangga’ atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’ ianya sudah cukup untuk diwar-warkan sebagai ‘bukti’ yang boleh menyemarakkan keyakinan pengguna keberkesanan produk mereka, lantas membolehkan mereka terus mengaut keuntungan berganda.
Begitu juga dengan penjual ubat, makanan kesihatan, penapis air, tonik, peranti urut, tilam, .. semuanya mengaku produk mereka boleh menyembuhkan.. walaupun mungkin hanya dua tiga orang pernah sembuh daripada beribu yang membeli dan menggunakannya.