Thursday, August 19, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 10

Jangan berhujjah dengan ketokohan perekacipta, apa lagi jika gelaran ‘tokoh’ itu sendiri diada-adakan

 
Bolehkah kita berhujjah dengan menggunakan nama seseorang? Adakah cukup  jika kita kata pembeli perlu yakin dengan produk berkenaan hanya  kerana perekacipta peranti (device), produk kesihatan  atau makanan tersebut adalah seorang doktor atau profesor? Atau kerana  ada doktor dan profesor yang telah menjadi penjual atau pelanggan?

Peribadi seseorang bukan hujjah.  Manusia bukan hujjah. Kita tidak boleh menerima bulat-bulat sesuatu hanya kerana ia dikatakan oleh sifulan atau sifulanah walau bagaimana besar dan tinggi pangkatnya.  Kita mesti minta bukti, naqli atau aqli.

Dalam urusan agama, kita tidak boleh menerima sesuatu amalan atau pendapat jika tidak dilandaskan kepada nas dan dalil; aqli atau naqli.  Kita tidak  boleh  menerima bulat-bulat pendapat/pandangan yang dibawa oleh seorang ustaz atau tokoh dalam hal ibadat tanpa mempersoalkan dalil dan hujjah beliau serta kaedah  atau cara beliau menyokong pendapat beliau, samada sesuai dengan kaedah (saintifik) usul-fiqh ataupun tidak.


Bahaya fenomena menerima tanpa soal saya huraikan dengan lanjut di sini: http://www.freewebs.com/omar60/bab7.htm

Begitu juga dalam hal muamalat, dalam hal menilai produk, peranti, terapi, teknik, bahan atau ubat komplementari, kita tidak boleh berhujjah hanya dengan ketokohan siperekacipta, apa lagi jika 'ketokohan' itu dicipta sendiri oleh siperekacipta dan orang-orang disekelilingnya.

Kadangkala, mereka menggunakan gelaran ‘Profesor’, ‘Dr.’, ‘Mahaguru’ etc. kepada siperekacipta ubat atau terapi tersebut, tanpa membuktikan Universiti mana yang menganugerahkan gelaran tersebut. Ada kemungkinan gelaran atau anugerah tersebut dicipta sendiri oleh siperekacipta yang kononnya ternama itu.
 
Memperagakan tokoh atau nama seseorang semata-mata tidak boleh diterima sebagai hujjah, baik dalam hal-hal ibadah atau  muamalat. Nama atau ketokohan seseorang, sekiranya tidak disokong dengan hujjah aqli atau naqli, tidak  membawa apa-apa makna.

Sunday, August 15, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 9

Contoh ‘bukti’ atau ‘hujjah’ yang sering diutarakan oleh penjual

Semalam saya mendapati dalam kotak surat saya satu risalah promosi 'ubat herba' bagi kesihatan wanita. Di bahagian belakang risalah tersebut, tertera 'bukti' keberkesanan ubat tersebut dengan menyenaraikan  testimoni pengguna yang kononnya telah berjaya setelah menggunakan produk berkenaan.

Testimoni terpilih (selected testimony) ialah salah satu kaedah yang sering dikemukakan  dalam hal produk-produk kesihatan, terapi alternatif dan makanan tambahan.  Soalnya, adakah ia sesuai dengan neraca Islam,  memenuhi  syarat dalil naqli atau hujjah aqli ?

Cuba kita petik di antara ‘bukti’ atau hujjah aqli yang lain yang sering digembar-gemburkan oleh ejen-ejen pemasaran produk-produk ini.
 
-         Rakan saya kata ia mujarab dan menyembuhkan penyakitnya.
-         Pak Cik saya yang lumpuh dapat berjalan semula.
-         Lihat ini senarai pesakit yang telah sembuh setelah menjalani  terapi ni.
-         Kawan dia kata emak dia pun sembuh sepenuhnya lepas minum jus ini.
-         Ubat ini berasal dari Amerika atau Eropah atau Jepun.
-         Produk ni dihasilkan oleh seorang Doktor atau Profesor.
-    Pencipta ubat ini telah dianugerahkan gelaran Mahaguru/Profesor (..oleh siapa?)
-         Datuk Dr. Mamat pun sekarang dah jadi ejen, tentu betul ubat ni bagus.
-         Syarikat ni adalah ahli kepada Persatuan Perubatan Terapi Gabungan Sedunia (satu nama yang nampak glamor tetapi sebenarnya tidak wujud atau persatuan kedai kopi saja).
-         Hasil penyelidikan mengenai produk ini diterbitkan di Jurnal Perubatan Alternatif Antarabangsa (lagi sekali satu Jurnal (konon) yang nampak glamor tetapi sebenarnya tidak wujud atau jurnal kedai kopi saja)
-     Lihat VCD/CD ni bukti testimoni pengguna yang telah berjaya sembuh.
-         Ubat ni dah ada kat internet, tentu bagus punya.
-     Peranti penjimatan minyak (fuel saving device) ini telah diuji di SIRIM, TESTED BY SIRIM!. (Tidak dinyatakan atau ditunjukkan bahawa hasil ujian SIRIM tersebut tidak pun  memberi kesimpulan positif  kepada  penggunaan peranti tersebut)

Anda nilailah sendiri. 
Sudahkah 'bukti' yang di atas itu menepati neraca Islam untuk dalil aqli atau naqli?  Adakah ia mencerminkan keikhlasan, kejujuran dan ketelusan yang ditunutut dalam transaksi jual-beli Islam?

Kita lihat bahawa kebanyakan di antara ‘bukti’ yang diutarakan  berbentuk tidak kukuh, tidak melepasi tahap keyakinan, tidak dapat dipertanggungjawabkan malah kadang-kala berunsur ‘penipuan’. 
Kadang-kadang ejen-ejen ini menyembunyikan hasrat sebenar dalam hati kecil mereka iaitu " ..saya lihat kawan saya tu dah jadi kaya dengan menjual produk ini, saya pun nak kaya juga macam dia, jadi awak cubalah, kalau awak beli saya akan dapat komisyen, awak..entahlah mujarab atau tidak, itu belakang kira lah..."

Tuesday, August 10, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 8

Pembuktian mesti ke tahap Yakin, jangan menyeleweng dari fakta yang dimaklumi umum.

Kes minuman tongkat Ali yang dihuraikan di dalam Laporan Khas Berita Harian dalam posting ke 7 lepas jelas menunjukkan perlunya kita berhati-hati dengan dakwaan tidak berasas, tanpa bukti oleh penjual yang ingin mengaut keuntungan.

Jika anda pembeli, pastikan kesahihan semua dakwaan. Jika anda penjual, bawalah bukti dan hujjah anda dengan jujur; bawa dalil naqli dan aqli.
Melalui dalil aqli, sekiranya seseorang ingin mendakwa keberkesanan  sesuatu produk, maka ia perlu membuktikan ke tahap yang yakin, atau setidak-tidaknya dzhan.
Anda perlu buktikan bahawa tahap keberkesanan atau kemujaraban sesuatu penawar atau terapi tersebut melebihi 75%. Ini bermakna,keberkesanan perlu berlaku pada sekurang-kurangnya  8 orang dari 10 orang yang mencubanya. 
Jika anda tidak mempunyai tahap keyakinan ini dalam produk anda; anda berdusta jika mengatakan produk yang anda jual boleh melakukan itu dan ini.
 
Dakwaan keupayaaan produk juga mesti tidak tersasar daripada fakta dan teori saintifik yang telah diterima umum kebenarannya.  Misalnya terdapat satu produk penapis air yang mendakwa boleh memecahkan molekul air kepada yang lebih kecil. 
Ini jelas palsu kerana molekul air H2O tidak boleh dikecilkan lagi melainkan menjadi atom hidrogen dan oksigen!   Malangnya fakta 'bombastik' tetapi menyeleweng sedemikian digunakan bagi menipu ‘orang kampung’.
 
Dakwaan yang bukan-bukan juga ialah dengan membawa konsep ‘aura’ atau ‘energised’.  Ini adalah sesuatu yang berdasarkan sangkaan dan , hampir serupa dengan kepercayaan karut  'karma' atau ‘feng shui’ yang sering diamalkan oleh manusia yang tidak mempunyai neraca Islam.
 
Air adalah air. Tenaga hanya wujud dalam bentuk-bentuk tertentu; tenaga kinetik, upaya, thermal dan seumpamanya.  Jika tenaga diberikan kepada air ia tidak dapat menyimpannya kecuali dalam salah satu bentuk yang termaklum. Air yang sekadar melalui sebuah penapis tidak mungkin dapat di’tenaga'kan atau ditambah tenaga.

Saturday, August 7, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 7

Khasiat Kopi Tongkat Ali di pasaran tidak memadai

Menurut Laporan Khas oleh Azrul Affandi Sobry dalam Berita Harian bertarikh 9 Mei 2007 yang bertajuk „kopi tongkat ali kurang khasiat kesihatan“ bahawa kebanyakan produk kopi campuran tongkat ali di pasaran didapati hanya mengandungi terlalu sedikit ekstrak herba itu dan langsung tidak memberi faedah kesihatan atau khasiat tambahan seperti yang didakwa pengeluarnya.

Kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) terhadap 10 jenama kopi tongkat ali popular di pasaran mendapati tujuh daripadanya mengandungi hanya 0.25 peratus hingga 1.6 peratus ekstrak herba itu dan tidak cukup untuk memberi manfaat kesihatan.

Pengarah Program Tumbuhan Ubatan FRIM, Dr Rasadah Mat Ali, berkata kandungan bahan aktif tongkat ali dalam minuman berkenaan pula hanya antara 0.0039 peratus hingga 0.0246 peratus atau 7.8 nanogram (ng) hingga 49.3ng, jauh daripada paras yang dapat memberi manfaat kesihatan.

Manusia normal yang berhasrat memperoleh khasiat tongkat ali perlu sekurang-kurangnya mengambil satu miligram (mg) bahan aktif tongkat ali bagi setiap kilogram (kg) berat badannya atau tidak lebih 3mg bagi setiap kg berat badan, sehari.

Contohnya, jika seseorang yang mempunyai berat badan 80kg, dia memerlukan minimum 80mg ekstrak tongkat ali sehari jika mahu memperoleh faedah daripada herba itu.

“Satu mg bersamaan dengan sejuta ng dan ini jelas menunjukkan kandungan ekstrak tongkat ali dalam kopi campuran yang diuji tidak sampai satu mg dan jauh lebih rendah daripada kadar minimum yang diperlukan.

“Justeru, penggunaan tongkat ali dalam minuman kopi campuran berkenaan sebenarnya tidak banyak membantu memberi manfaat daripada segi kesihatan, malah mungkin sia-sia saja,” kata Rasadah dalam satu temu bual dengan Berita Harian, di sini.

Rasadah berkata, tiga lagi jenama kopi campuran tongkat ali yang diuji FRIM gagal mengesan sebarang kandungan ekstrak bahan itu, mungkin kerana jumlahnya terlalu kecil atau memang tiada langsung bahan berkenaan.

Friday, July 30, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 6

Jika tiada dalil naqli, tunjukkan dalil aqli
 
Dalil aqli  ialah dalil berdasarkan rasional, fakta,  disiplin ilmu dan  kaedah ujian saintifik.  Disiplin ilmu dan kaedah saintifik bukan semestinya bermakna ‘ilmu sains’ tetapi yang dimaksudkan  ialah kaedah pengembangan dan pembinaan ilmu secara pengujian yang berulang dan  sistematik atau pembuktian secara mujarrabat
Ia bermula dengan keyakinan bahawa ciptaan Allah mempunyai cara dan sistem yang tetap, sunnatullah yang tidak berubah. 
 
Kecuali dalam kes-kes pengecualian akibat mukjizat dan seumpamanya, alam ciptaan Allah berjalan atas kaedah ‘sebab’ dan ‘akibat’.  Kaedah saintifik dari sudut pemerhatian, pengukuran, ujian  dan statistik adalah ilmu yang lahir dari kaedah pengembangan ilmu yang jitu ini.
 
Oleh itu misalnya kesan sesuatu bahan ke atas manusia boleh dijangkakan secara pasti. Misalnya hempedu pahit, gula manis, cuka masam, api membakar, air menghilangkan dahaga, antiseptik membunuh kuman dan paratacemol mengurangkan sakit. Ini hukum Allah yang semuanya terbukti secara saintifik, boleh diyakini akan berulang.
 
Setiap fakta atau dakwaan boleh dibuktikan sekiranya ia bertepatan dengan dalil aqli atau naqli.  Ini bermakna, jika seseorang mendakwa sesuatu, beliau mesti mendatangkan dalil samada dalil naqli atau aqli. 
 
Kita maklum bahawa dalil naqli dibawa dengan mengemukakan sumber nas atau dalil syar’ie yang sahih.  Dalil aqli pula perlu dibawa dengan membawa bukti satu proses pembuktian yang saintifik, teratur dan sistematik.

Monday, July 26, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 5

Bukti Naqli ada?
 
Jual beli perlu tulus dan telus.  Penjual perlu menceritakan hakikat sebenar produk, barangan atau perkhidmatannya, tanpa selindung, tanpa sembunyi. 
 
Islam tidak menerima dakwaan tanpa hujah,  tuntutan tanpa bukti.
 
Seseorang tidak boleh mengatakan sesuatu mengenai  seseorang tanpa bukti. Begitu juga, kita tidak boleh mengatakan  mengenai sesuatu hal, barangan atau produk tanpa bukti, tanpa dalil yang kukuh, tanpa memberikan sokongan yang kuat kepada dakwaan kita.
 
Bukti, dalil, keterangan atau hujjah untuk menyokong dakwaan sesuatu  produk mesti berasaskan salah satu daripada dua sumber; dalil, keterangan hujjah naqli atau hujjah, bukti berdasarkan aqli.
 
Dalil naqli ialah  sesuatu yang termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
 
Dalam konteks makanan kesihatan atau penawar yang kita bincangkan di sini,  terdapat beberapa produk di pasaran yang memenuhi syarat bukti bagi kategori dalil naqli, misalnya madu dan habbatussauda’ yang mempunyai dalil yang kuat thabit melalui ayat al-Quran ataupun Hadis Nabi (saw) yang sahih.
 
  Walaubagaimanapun, kita masih perlu berhati-hati dalam menilai madu dan habbatussauda’ yang kita beli; misalnya sejauh mana ketulenannya?   Ada madu bercampur sirap, ada susu dari lembu berpenyakit, ada serbuk yang kelihatan seperti habbatusauda’  tetapi rupa-rupanya bijan hitam!
 

Wednesday, July 21, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 4

Penjual produk 'ajaib' perlu kemukakan bukti

Kita tidak boleh mendakwa, menuntut atau mengutarakan sesuatu tanpa bukti.
Sepertimana yang kita boleh fahami dari hadis ke 33 dari Himpunan Hadis 40 Imam Nawawi.
Dari Ibnu Abbas radhiallahuanhuma, sesungguhnya Rasulullah (SAW) bersabda : Seandainya setiap dakwaan manusia diterima, niscaya setiap orang akan mengadukan harta suatu kaum dan darah mereka, karena itu (agar tidak terjadi hal tersebut) maka bagi pendakwa agar mendatangkan bukti dan sumpah bagi yang mengingkarinya
(Hadits hasan riwayat Baihaqi dan lainnya)
Islam mengutuk keras kita menerima kata-kata seseorang tanpa bukti yang kukuh dan kemas, samada hujjah alQuran dan Hadis atau fakta ilmiah.
Perlunya hujjah dan dalil yang kukuh bukan sekadar dalam bab-bab yang menyangkut urusan agama.  Ia juga menjadi prinsip penting dalam semua hal dalam urusan hidup manusia.  termasuk dalam hal penyebaran maklumat atau berita serta dalam hal memperihalkan barangan dan produk.


Oleh itu, kita selaku pengguna harus mengenakan neraca Islam dalam menilai produk-produk yang berlambak di pasaran. 

Di pihak yang lain, penjual pula harus juga memastikan perihal produk mereka diceritakan dengan jujur dan berasaskan maklumat yang benar dan sahih.
Di antara adab dan etika perniagaan  Islam ialah menerangkan perihal produk secara jujur, berterus terang, tidak berlebih-lebih dan tidak berdusta atau menyembunyikan perihal barangan yang mahu dijual. 

Alangkah malangnya sekiranya dalam keghairahan mengaut untung, penjual sanggup mendakwa sesuatu yang tidak sebenarnya ada pada barangan, produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.   

Mungkin dalam kebanyakan hal, penjual produk tidak berniat menipu tetapi mereka tidak sedar bahawa cara mereka mempromosi produk-produk mereka sebenarnya membayangkan produk mereka adalah ‘ajaib’, berupaya melakukan pelbagai perkara yang sebenarnya tidak ada pada produk mereka. 

Ini kerana mereka diajar  di dalam sesi-sesi latihan jualan oleh syarikat-syarikat mereka agar menceritakan  dan menggembar-gemburkan ciri-ciri ‘ajaib’ produk-produk berkenaan. 

Pembeli pula, dalam keadaan tersepit menghadapi masalah kesihatan  terus termakan pujuk rayu penjual tanpa mengira kesahihan dakwaan mereka. 

Monday, July 19, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 3

Islam menolak tahyul dan sangkaan dan dakwaan tanpa asas kukuh
 
Islam adalah agama rasional. Ia tegak berdasarkan hujjah dan ilmu.  Semua keyakinan dan pegangan hidup kita berdasarkan bukti dan keterangan yang sahih.
 
 Ia tidak tegak berasaskan sangkaan, atau dakwaan yang tidak berasas.
 
Di sana juga terdapat banyak ayat yang menyuruh kita berpegang kepada nas dan dalil yang terang dalam pegangan dan amalan kita.  Misalnya: Firman Allah bermaksud:
"Jangan kamu mengikut sesuatu yang kamu tiada ilmu/pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan  ditanyai (pertanggungjawabkan)".
                                                                        (al-Isra':36)
 
Islam tidak menerima sangkaan, tekaan, ramalan yang tidak berasas. 
 
Islam  menolak sama-sekali  semua kaedah yang berdasarkan sangkaan tanpa bukti kukuh.  Amalan seperti bertenung nasib, ramalan bintang, horoskop, ramalan urat tapak tangan, feng shui, numerologi,  konsep tarikh lahir Islam, dan konsep keserasian nama adalah tahyul dan khurafat yang ditolak. 
 
Islam membenteras sangkaan yang bukan-bukan, dakwaan tanpa hujah, mengikut atau berpegang dengan sesuatu tanpa ilmu atau pengetahuan.
 
Perbincangan lanjut mengenai keperluan kembali kepada bukti, hujjah dan dalil boleh dilihat di:
 
Islam tidak mahu umatnya mengikut, berpegang atau percaya kepada sesuatu yang tidak jelas, yang kabur.
 
Dalam bab jual beli produk, Islam tidak membenarkan kita menyebarkan sesuatu yang tidak pasti,  mengemukakannya pula kepada orang lain seolah-olah ia sesuatu kebenaran hakiki, apa lagi menjualnya kepada orang lain dengan harga yang terlalu tinggi seolah-olah itulah penawar ‘ajaib’ yang dinantikan!

Sunday, July 18, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 2

Jual Beli dalam Islam perlu Telus dan Tulus!
 
Anda pasti boleh menyebutkan  berbelas jenis kopi berkhasiat,  sepuluh jenis teh,  berpuluh jenis makanan tambahan, berjenis-jenis madu, beberapa jenis susu, pelbagai jenis penapis air.  Anda dengan mudah boleh menyenaraikan berpuluh produk yang didakwa boleh menyembuhkan penyakit-penyakit  kronik seperti barah, darah tinggi, kencing manis, malah AIDS.  Dengan dakwaan tersebut,  pengeluar, pengedar dan penjualnya tidak segan-silu untuk meletakkan harga yang tinggi, kebanyakannya tidak munasabah.  
 
Berhadapan dengan pelbagai jenis produk ini, seseorang pengguna mungkin keliru dan serba-salah,  bingung dan  terpinga-pinga, mungkin termakan pujuk rayu dan tawaran yang dianggap istimewa.
 
Ya, kesihatan adalah segalanya dan manusia sanggup berbelanja untuk memperolehinya.  Tetapi dalam ribuan pilihan yang berada di pasaran, yang mana yang boleh diharap, yang mana yang boleh diyakini?
 
Di sebalik kekeliruan dan kekaburan ini, Islam memberi panduan  yang jelas kepada umatnya.
 
Terdapat dua perkara yang perlu kita jadikan panduan.
 
i.                     Prinsip jual-beli Islam yang harus dipatuhi.
ii.                   Prinsip Islam dalam menentukan  kesahihan sesuatu dakwaan atau meyakinkan orang lain mengenai sesuatu.
 
Islam mempunyai  prinsip jual-beli yang tidak boleh dike sampingkan; walau apa juga produk atau perkhidmatan yang kita perdagangkan. Di  antara  prinsip yang penting dalam hubungan ini ialah ketelusan dan ketulusan si penjual dan sipembeli.
 
Hakim bin Hizam berkata  Nabi saw bersabda: Penjual dan pembeli memiliki hak  selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan mau menerangkan (keadaan barang), mereka akan mendapat berkah dalam jual beli mereka. Dan jika mereka bohong dan menutupi (cacat barang), akan dihapuskan keberkahan jual beli mereka.
(Hadis riwayat Muslim)
 
Dalam Hadis yang lain  Ibnu Umar ra. Meriwayatkan Seorang lelaki melaporkan kepada Rasulullah saw. bahwa ia tertipu dalam jual beli. Maka Rasulullah saw. bersabda: Katakanlah kepada orang yang kamu ajak berjual-beli: Tidak boleh menipu! Sejak itu jika ia bertransaksi jual beli, ia berkata: Tidak boleh menipu!
(Hadis Riwayat Muslim)
 
 Dalam memastikan ketulusan, penjual perlu menerangkan dengan jujur dan benar dengan keupayaan produk beliau, berdasarkan bukti, hujjah dan alasan yang kukuh.

Saturday, July 17, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 1

TERAPI DAN PRODUK KESIHATAN ALTERNATIF: YANG MANA KACA YANG MANA INTAN? 

gambar hiasan

 


Berikut saya bentangkan satu siri artikel mengenai bagaimana kita menilai pelbagai produk dan terapi alternatif yang terdapat di pasaran. Bukan tujuan saya untuk memperkecilkan pasaran produk berkenaan tetapi saya akan utarakan kaedah asas dalam jual-beli dan applikasinya dalam jualan produk-produk berkenaan.

Artikel saya ini tidak sedikit pun mahu memperkecilkan alternative atau complementary medicine, yang telah terbukti misalnya acupuncture.  Dan saya juga tidak berhajat untuk memperkecilkan kesan do'a  atau karamah yang kadang-kadang dianugerahkan Allah kepada manusia-manusia terpilih.

Yang saya cuba utarakan ialah bagaimana perspektif sebenar dalam menilai produk-produk yang berselerak di pasaran; yang mana yang betul, yang mana tidak,  yang mana berkesan, yang mana 'auta',
yang mana yang intan yang mana kaca,

Sebabnya sekarang terdapat pelbagai macam produk dan kebanyakannya tidak mempunyai sejarah beribu tahun, mungkin baru sebulan dua ni timbul. Bahkan di antara yang sudah terbukti ratusan tahun seperti acupuncture dan tongkat Ali itu pun, ada lagi unsur penipuan...apa lagi produk baru lain yang didakwa boleh melakukan pelbagai keajaiban seperti menyembuhkan kanser dan lumpuh?

Kita perlu berhati-hati, kerana ada pula di antara sistem jualan produk ini  sebenarnya hanya sekadar topeng selindung bagi skim haram cepat kaya. Yang dicari oleh SEBAHAGIAN penjual dan pengedar  ialah kereta BMW atau Toyota Vios, bukan ikhlas berniaga sebagai usahawan sebenar dengan memasarkan produk yang bermutu  dan menjual sesuatu yang benar-benar memenuhi apa yang didakwa olehnya.