Kita tidak boleh mendakwa, menuntut atau mengutarakan sesuatu tanpa bukti.
Sepertimana yang kita boleh fahami dari hadis ke 33 dari Himpunan Hadis 40 Imam Nawawi.
Dari Ibnu Abbas radhiallahuanhuma, sesungguhnya Rasulullah (SAW) bersabda : Seandainya setiap dakwaan manusia diterima, niscaya setiap orang akan mengadukan harta suatu kaum dan darah mereka, karena itu (agar tidak terjadi hal tersebut) maka bagi pendakwa agar mendatangkan bukti dan sumpah bagi yang mengingkarinya
(Hadits hasan riwayat Baihaqi dan lainnya)
Islam mengutuk keras kita menerima kata-kata seseorang tanpa bukti yang kukuh dan kemas, samada hujjah alQuran dan Hadis atau fakta ilmiah.
Perlunya hujjah dan dalil yang kukuh bukan sekadar dalam bab-bab yang menyangkut urusan agama. Ia juga menjadi prinsip penting dalam semua hal dalam urusan hidup manusia. termasuk dalam hal penyebaran maklumat atau berita serta dalam hal memperihalkan barangan dan produk.
Oleh itu, kita selaku pengguna harus mengenakan neraca Islam dalam menilai produk-produk yang berlambak di pasaran.
Di pihak yang lain, penjual pula harus juga memastikan perihal produk mereka diceritakan dengan jujur dan berasaskan maklumat yang benar dan sahih.
Di antara adab dan etika perniagaan Islam ialah menerangkan perihal produk secara jujur, berterus terang, tidak berlebih-lebih dan tidak berdusta atau menyembunyikan perihal barangan yang mahu dijual.
Alangkah malangnya sekiranya dalam keghairahan mengaut untung, penjual sanggup mendakwa sesuatu yang tidak sebenarnya ada pada barangan, produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Mungkin dalam kebanyakan hal, penjual produk tidak berniat menipu tetapi mereka tidak sedar bahawa cara mereka mempromosi produk-produk mereka sebenarnya membayangkan produk mereka adalah ‘ajaib’, berupaya melakukan pelbagai perkara yang sebenarnya tidak ada pada produk mereka.
Ini kerana mereka diajar di dalam sesi-sesi latihan jualan oleh syarikat-syarikat mereka agar menceritakan dan menggembar-gemburkan ciri-ciri ‘ajaib’ produk-produk berkenaan.
Pembeli pula, dalam keadaan tersepit menghadapi masalah kesihatan terus termakan pujuk rayu penjual tanpa mengira kesahihan dakwaan mereka.
No comments:
Post a Comment