Jual Beli dalam Islam perlu Telus dan Tulus!
Anda pasti boleh menyebutkan berbelas jenis kopi berkhasiat, sepuluh jenis teh, berpuluh jenis makanan tambahan, berjenis-jenis madu, beberapa jenis susu, pelbagai jenis penapis air. Anda dengan mudah boleh menyenaraikan berpuluh produk yang didakwa boleh menyembuhkan penyakit-penyakit kronik seperti barah, darah tinggi, kencing manis, malah AIDS. Dengan dakwaan tersebut, pengeluar, pengedar dan penjualnya tidak segan-silu untuk meletakkan harga yang tinggi, kebanyakannya tidak munasabah.
Berhadapan dengan pelbagai jenis produk ini, seseorang pengguna mungkin keliru dan serba-salah, bingung dan terpinga-pinga, mungkin termakan pujuk rayu dan tawaran yang dianggap istimewa.
Ya, kesihatan adalah segalanya dan manusia sanggup berbelanja untuk memperolehinya. Tetapi dalam ribuan pilihan yang berada di pasaran, yang mana yang boleh diharap, yang mana yang boleh diyakini?
Di sebalik kekeliruan dan kekaburan ini, Islam memberi panduan yang jelas kepada umatnya.
Terdapat dua perkara yang perlu kita jadikan panduan.
i. Prinsip jual-beli Islam yang harus dipatuhi.
ii. Prinsip Islam dalam menentukan kesahihan sesuatu dakwaan atau meyakinkan orang lain mengenai sesuatu.
Islam mempunyai prinsip jual-beli yang tidak boleh dike sampingkan; walau apa juga produk atau perkhidmatan yang kita perdagangkan. Di antara prinsip yang penting dalam hubungan ini ialah ketelusan dan ketulusan si penjual dan sipembeli.
Hakim bin Hizam berkata Nabi saw bersabda: Penjual dan pembeli memiliki hak selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan mau menerangkan (keadaan barang), mereka akan mendapat berkah dalam jual beli mereka. Dan jika mereka bohong dan menutupi (cacat barang), akan dihapuskan keberkahan jual beli mereka.
(Hadis riwayat Muslim)
Dalam Hadis yang lain Ibnu Umar ra. Meriwayatkan Seorang lelaki melaporkan kepada Rasulullah saw. bahwa ia tertipu dalam jual beli. Maka Rasulullah saw. bersabda: Katakanlah kepada orang yang kamu ajak berjual-beli: Tidak boleh menipu! Sejak itu jika ia bertransaksi jual beli, ia berkata: Tidak boleh menipu!
(Hadis Riwayat Muslim)
Dalam memastikan ketulusan, penjual perlu menerangkan dengan jujur dan benar dengan keupayaan produk beliau, berdasarkan bukti, hujjah dan alasan yang kukuh.
No comments:
Post a Comment