Bolehkah kita berhujjah dengan menggunakan nama seseorang? Adakah cukup jika kita kata pembeli perlu yakin dengan produk berkenaan hanya kerana perekacipta peranti (device), produk kesihatan atau makanan tersebut adalah seorang doktor atau profesor? Atau kerana ada doktor dan profesor yang telah menjadi penjual atau pelanggan?
Peribadi seseorang bukan hujjah. Manusia bukan hujjah. Kita tidak boleh menerima bulat-bulat sesuatu hanya kerana ia dikatakan oleh sifulan atau sifulanah walau bagaimana besar dan tinggi pangkatnya. Kita mesti minta bukti, naqli atau aqli.
Dalam urusan agama, kita tidak boleh menerima sesuatu amalan atau pendapat jika tidak dilandaskan kepada nas dan dalil; aqli atau naqli. Kita tidak boleh menerima bulat-bulat pendapat/pandangan yang dibawa oleh seorang ustaz atau tokoh dalam hal ibadat tanpa mempersoalkan dalil dan hujjah beliau serta kaedah atau cara beliau menyokong pendapat beliau, samada sesuai dengan kaedah (saintifik) usul-fiqh ataupun tidak.
Bahaya fenomena menerima tanpa soal saya huraikan dengan lanjut di sini: http://www.freewebs.com/omar60/bab7.htm
Begitu juga dalam hal muamalat, dalam hal menilai produk, peranti, terapi, teknik, bahan atau ubat komplementari, kita tidak boleh berhujjah hanya dengan ketokohan siperekacipta, apa lagi jika 'ketokohan' itu dicipta sendiri oleh siperekacipta dan orang-orang disekelilingnya.
Kadangkala, mereka menggunakan gelaran ‘Profesor’, ‘Dr.’, ‘Mahaguru’ etc. kepada siperekacipta ubat atau terapi tersebut, tanpa membuktikan Universiti mana yang menganugerahkan gelaran tersebut. Ada kemungkinan gelaran atau anugerah tersebut dicipta sendiri oleh siperekacipta yang kononnya ternama itu.
Memperagakan tokoh atau nama seseorang semata-mata tidak boleh diterima sebagai hujjah, baik dalam hal-hal ibadah atau muamalat. Nama atau ketokohan seseorang, sekiranya tidak disokong dengan hujjah aqli atau naqli, tidak membawa apa-apa makna.
No comments:
Post a Comment