Monday, March 7, 2011

90/10 Principle in Action!



Tret-tet-tret-tet-tret-tet.... Deringan telefon bimbit memecah keheningan pagi Rabu.

Dengan mata yang berat Budin menggapai telefon di sisi katilnya dan menekan butang SNOOZE. “Ah.. baru 6.15, awal lagi’, dia memujuk dirinya. Selimut ditarik. Mata dipejam. Sebenarnya dia baru saja melabuhkan badannya kira-kira 3.30 pagi tadi, selepas pulang dari Restoran Ayubiah menonton Manchester United melawan Barcelona.

Entah berapa kali telefon berdering, entah berapa kali pula butang SNOOZE ditekan.

Tret-tet-tret-tet-tret-tet....  ” Hah?  dah 7.30?”, Budin tersentak. Dia  melompat bangun, mencapai tuala dan terus ke bilik air.

Dia mesti pergi kelas Kimia pukul 8. Dia wajib pergi. Dia sudah berkali-kali ponteng kelas ini.  Minggu lepas Prof Batrisya sudah memberi amaran dia akan dilarang mengambil peperiksaan akhir sekiranya dia dia ponteng kelas lagi.

Dia bergegas memakai baju mencapai beg dan berlari-lari anak ke tempat menunggu bas. Kolej kediamannya jauh dari Dewan kuliah, oleh itu Budin perlu menaiki bas. Malangnya, bas baru saja berlepas. Setelah 15  minit menunggu, barulah bas yang seterusnya tiba.

Budin melangkah masuk ke Dewan kuliah melalui pintu belakang. Profesor Batrisya yang sedang mengajar menilik jam tangannya dan kemudian melirik ke arahnya. “Budin! Why are you so late?”.  “ Sorry Prof, terlepas bas.”, jawab  Budin,   “ bas tu memang  tak patut Prof, dia tak tunggu saya tadi”. “Awak yang patut tunggu bas, bukan bas tunggu awak!”, tegas Profesor Batrisya sambil menyuruhnya duduk  dan  memberi amaran terakhir kepadanya supaya tidak lewat lagi.

Dalam perjalanan ke kelas Matematik pada pukul 9 pagi, Budin melihat kawan-kawannya dari kelas lain sedang berborak di Cafeteria Mak Abah untuk sarapan. Mengenangkan perutnya juga berkeroncong dan dia mengidam sarapan nasi lemak ayam yang sangat enak di Cafeteria  Mak Abah, dia pun duduk tumpang sekaki. Sambil makan, mereka bersembang mengenai perlawanan malam tadi, bagaimana MU boleh tewas tipis 1-2  ke atas Barcelona, bagaimana Alex Ferguson Pengurus MU telah di’buang padang’  oleh pengadil kerana membantah  sepakan penalti dan pelbagai hal lagi.

Sementara itu, di kelas  Matematik, Dr. Haziq  sedang mengedarkan kertas tugasan 3 dan mengumumkan ujian kedua yang akan diadakan pada 8.00 malam hari  Selasa depan.
----

Menjelang maghrib  pada hari Selasa minggu berikutnya, Budin dan kawan-kawannya sedang melepak di Restoran Ayubiah apabila telefonnya berdering. “Budin, malam ni Test 2 Matematik la, pukul 8 ni!”, suara Dol tercungap-cungap di talian.  “Hah? Bior betul!”, letus Budin, “ Teruknya Dr. Haziq ni, kok ia pun nak buat test, khabar lah awal-awal. Cakap last minit macam ni, mana sempat nak prepare. Apalah punya Lecturer!, malas lah aku nak pergi. Tengok bola lagi best!”.
 Keesokan harinya, Budin bangun lewat lagi. Oleh kerana dia telah diberi amaran terakhir supaya jangan lewat, Budin memilih untuk tidak hadir ke kelas  Profesor Batrisya. Sebaliknya dia ke kafeteria Mak Abah untuk menikmati menu kegemarannya.  Pukul 9 pagi Budin bergegas ke kelas   Matematik.  Ketika  Budin melangkah masuk ke kelas, Dr Haziq sedang memberi arahan kepada kelasnya,  “ sila kumpulkan tugasan 3 yang saya beri minggu lepas dan hantar ke depan!”

Budin menggaru kepala yang tidak gatal.  “Tugasan? Tugasan apa pulak ni?”

The End
----------------------------------------------------------------------------------------------------
Komentar:

  1. Kebanyakan daripada apa yang terjadi pada Budin  terhasil akibat tindakan dan pilihan Budin sendiri.
  2. Kita membuat  pelbagai keputusan dan pilihan sepanjang kehidupan seharian kita. Keputusan/pilihan atau rentetan keputusan/pilihan ini memberi kesan yang mendalam  kepada kehidupan kita seterusnya.
  3. Terdapat perkara yang di luar kawalan kita tetapi banyak perkara juga berada di dalam kawalan kita. Uruskan dan buat keputusan terbaik bagi perkara di dalam kawalan kita dengan mengambilkira  apa yang di luar kawalan kita.

No comments:

Post a Comment