Sunday, September 19, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 14 ..Akhir

Penutup

Saya melihat sebahagian  kalangan yang memasarkan produk alternatif mereka kadang-kadang menghampiri kepada bentuk yang terdapat seperti yang diwar-warkan di Basilica Lourdes  atau  di Church of Lady Fatima atau pun orang-orang Hindu yang mandi di Sungai Gangga  dengan harapan sembuh.

Walaupun jualan ubat dan terapi alternatif ini tidak khurafat dari sudut syariat, tahap keyakinan kita terhadap ‘bukti’ kebanyakan kaedah dan peranti perubatan alternatif yang dimajukan sangat rendah kerana lagi sekali, hampir sama dengan ketidak-yakinan kita terhadap ‘rawatan air gangga’. Ia tidak cukup kuat dari sudut saintifik. Ia masih bersifat kabur.

Tiada dalil naqli yang sahih diutarakan dan tiada bukti saintifik bersumberkan kaedah kajian tabiat alam  yang kukuh dimajukan.  Dakwaan yang menyalahi fakta saintifik terus dijaja, maklumat yang menghampiri khurafat seperti penambahan aura dan tenaga dalaman terus digembar-gemburkan.

Hasilnya,  pembeli terpedaya dengan pujukan  petikan-petikan  testimoni terpilih yang mungkin berlaku hanya seratus kali dalam sepuluh ribu pengguna ubat atau kaedah terapi tersebut. Atau pembeli terpesona dengan nama-nama gelaran ‘bombastic’ orang yang merekacipta peranti atau terapi berkenaan.

Terdapat dua pihak di sini. 

Pertama, penjual yang tidak telus dan tulus menyatakan sifat barangan atau produk yang dijual, tidak terus-terang menyatakan had atau kelemahan produknya di samping dakwaan keupayaannya. 

Kedua, pengguna atau pembeli yang tidak tahu menilai samada produk atau barangan yang hendak dibeli tersebut boleh berfungsi atau beroperasi  seperti didakwa oleh sipenjual dengan yakin.  Pengguna akhirnya mengeluarkan wang beribu atau beratus ringgit untuk sesuatu  yang tidak sebenarnya berfungsi sepenuhnya sebagaimana didakwa, walaupun mereka membelinya dengan penuh keyakinan!

Fair Trading bukan ciptaan baru, bukan dari barat. Ianya telah lama dipelopori oleh syariat Islam.  Perlu ditekankan pelaksanaan syariat bermula dari diri dan keluarga, termasuk dalam muamalah dan transaksi jual-beli kita sehari-hari. Malangnya, asas  penting dalam jual beli Islam ini sering dikebelakangkan. 

Seperti yang saya nyatakan di dalam bahagian pengenalan siri ini, bukan tujuan saya untuk mengganggu-gugat bisness orang yang mahu menjalankan perniagaan dengan tulus dan ikhlas. Yang saya cuba lakukan ialah untuk mengajak pembaca berfikir dan menilai, samada sebagai penjual atau pembeli, sejauh manakah kita  menepati kehendak syariat dalam kita menjual atau membeli pelbagai produk, kaedah, peranti yang berada di pasaran.

Moga kita dapat benar-benar menilai, yang mana kaca, yang mana intan.
Allah sahajalah yang Maha Mengetahui Segala-galanya

Tamat

Wednesday, September 1, 2010

Renungan untuk Pengedar dan Pembeli Produk Kesihatan dan Terapi Alternatif 13

Bukti yang kabur dan tidak saintifik!
 
Cuba kita bandingkan dakwaan kehebatan serta  ‘bukti kabur’ yang diutarakan bagi produk-produk kesihatan dan makanan tambahan ini dengan apa yang mungkin boleh dipanggil ‘terapi Lourdes’, atau ‘teknik Lady Fatima’ atau   ‘rawatan air Ganga’  atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’.
 
Pastinya  kita tidak pernah dan tidak akan percaya akan kuasa penyembuhan yang ada pada Sungai Gangga atau Church of Lady Fatima . Walaupun terdapat kes-kes yang sering diceritakan mengenai ‘kejayaan’ penyembuhan, kita yakin bahawa ia tidak cukup signifikan untuk menjadi dalil dan bukti ‘kebenaran’ yang terdapat pada ‘terapi Lourdes’, atau ‘teknik Lady Fatima’ atau   ‘rawatan air Ganga’  atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’.
 
Islam tidak menerima khurafat ‘terapi Lourdes’, atau ‘teknik Lady Fatima’ atau   ‘rawatan air Ganga’  atau ‘Sistem Perubatan Lady Fatima’ bukan sekadar ia bertentangan dengan syariat tetapi ia juga bertentangan dengan hakikat saintifik dan kaedah kajian sistematik tabiat alam.
 
Ia tidak saintifik. Ia  tidak mencapai tahap keyakinan statistik.
 
Menurut kaedah statistik, ‘bukti’ kejayaan  tersebut tidak boleh diterima kerana tidak cukup ‘significant’ yakni kejayaan tidak merupakan kebiasaan, kegagalan pula yang sering berlaku.
Dan kita yakin oleh kerana apa yang dibuat dalam Terapi Gangga atau di Church of Lady Fatima tidak sesuai dengan syariat Allah, ‘statistical significance’ tidak mungkin akan berlaku.  Hukum Allah dalam syariat-Nya tidak mungkin bercanggah dengan hukum Allah dalam alam semesta.
 
Salah satu konsep saintifik dalam mengesahkan sesuatu jumpaan sains ialah ‘repeatability’ atau ‘kebolehulangan’. Ini bermakna,  sesuatu itu dianggap benar dan diyakini sekiranya ia berlaku secara berulang-ulang; bukan sesuatu yang jarang-jarang berlaku.
 
Misalnya   bola yang dibaling ke udara akan jatuh semula ke bumi.  Misal lain, air laut masin dan menyebabkan karat pada besi.  Ini semua hukum alam (sunnatullah) yang berulang-ulang dan diyakini boleh berlaku secara pasti, kecuali kes-kes pengecualian khas seperti mukjizat,karamah dan seumpamanya yang amat jarang sekali berlaku.
 
Apa juga dakwaan untuk penyembuhan atau keberkesanan produk kesihatan juga perlu mencapai tahap repeatability sedemikian.  Hanya dengan tahap keyakinan sedemikian baru kita layak mendakwa keberkesanan dan keupayaan produk yang kita jual atau kita boleh percaya dengan produk yang kita beli.