Monday, April 19, 2010

Letusan Eyjafjallajokull gegar ekonomi dunia


a


Kesan abu gunung berapi Iceland lebih buruk daripada yang dijangkakan. Abu yang muncul akibat letusan gunung tersebut telah melumpuhkan sistem pengangkutan udara Eropah.
International Air Transport Association (IATA) meramalkan syarikat-syarikat penerbangan menanggung kerugian pendapatan US$200 juta sehari. Ini tidak termasuk kos-kos lain melibatkan pejadualan semula dan penggunaan lencongan. Mungkin sebahagian syarikat akan terpaksa gulung tikar jika keadaan ini berterusan.


Kesan sebenar kepada ekonomi ialah kebekuan ekonomi akibat ketiadaan pengangkutan udara, bukan sekadar di Eropah malah di seluruh dunia. Tanpa pengangkutan udara, manusia tidak dapat bergerak untuk melaksanakan tugas masing-masing, mesyuarat tidak berjalan, pertemuan terpaksa dibatalkan, persidangan dan perhimpunan besar terpaksa ditangguhkan. Sektor perkhidmatan dan pelancongan akan terjejas, tempahan hotel dan pusat peranginan terpaksa dibatalkan, kontrak tidak dapat dipenuhi.


Pengangkutan barangan tidak dapat dilaksanakan, produk bernilai tinggi tidak bergerak, produk pertanian tidak dapat dihantar dengan segera, penghantaran produk kesihatan, perubatan dan saintifik tertangguh, sistem courier dan pos ekspres menjadi kelam kabut, alat ganti mesin dan kilang tidak dapat diperoleh.


Dalam surah ad-Dukhan, kita telah diberikan amaran bahawa kedatangan asap/kabut dari langit adalah sesuatu yang mengazabkan.


”Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata. Yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih. (Mereka berdoa): "Ya Rabb kami, lenyapkanlah daripada kami azab itu. Sesungguhnya kami akan beriman.”
(Ad-Dukhan 44: 10-12)


Kita tidak mengatakan abu gunung berapi Eyjafjallajokull inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini, tetapi yang penting, amaran Allah bahawa asap/kabut dari langit itu adalah salah satu azab bagi manusia dan merupakan salah satu tanda kedatangan kiamat.
Muslim perlu sentiasa sedar bahawa fenomena alam adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.


”Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”
(Ali Imran 3: 190]


Bagi kita, letusan gunung berapi serta luapan abu terjadi dengan kudrat dan iradat Allah. Jelas kepada kita bahawa kuasa Allah jauh lebih tinggi, lebih hebat mengatasi kekerdilan teknologi ciptaan manusia. Kapal terbang manusia yang dianggap canggih tidak dapat terbang dan berfungsi hanya kerana satu letusan daripada salah satu gunung berapi. Begitulah lemahnya manusia berbanding yang Maha Esa.


Terbit di: http://malaysiaharmoni.com


Friday, April 9, 2010

Pedoman AlQuran 107

Hukum diturunkan untuk dilaksanakan.  Allah telah menetapkan syariat bagi setiap umat. Berlumba-lumbalah untuk melakukan kebajikan kerana semua kita akan kembali kepada-Nya.



Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. [Surah Almaidah: 48]