Seperti biasa, kami dan beberapa jemaah lain yang lewat membuat jemaah baru, diimamkan oleh seorang anak muda. Anda mungkin pernah merasainya, tetapi bersolat dalam keadaan imam sedang berwirid memang menyeksakan. Apa lagi dengan mikrofon yang tergantung di dadanya, Imam berwirid seolah-olah hanya dunia ini dia yang punya.
Peliknya, itulah amalan biasa masyarakat kita. Wirid secara jahar, deras, nyaring tanpa menghiraukan jemaah lain yang mungkin sedang solat. Anehnya, menjaharkan wirid ini berlaku walaupun pada solat Asar dan Zuhr walaupun bacaan di dalam solat-solat ini sepatutnya dibaca secara sirr, perlahan. Apabila solat Imam membaca senyap, tetapi apabila sudah solat lantas berzikir secara lantang.
foto: http://alrisalah.wordpress.com
Yang saya timbulkan ialah kenapa Imam-imam tidak dilatih supaya sensitif dengan persekitaran dan bertindak sewajarnya. Kenapa Imam-imam tidak didedahkan dengan fiqh awlawiyat, yakni memahami keutamaan sesuatu amalan dan mengutamakan yang awla, yang lebih tinggi darjatnya berbanding yang kurang utama.
Nabi (saw) mengajar Imam supaya sensitif dengan apa yang berlaku di kalangan jemaahnya. Imam perlu prihatin dengan makmum yang mungkin berkeperluan, dengan apa jua keperluan tersebut. Kita semua tahu mengenai kebiasaan Rasulullah memendekkan solat apabila mendengar tangisan anak.
Kita juga pernah mendengar tentang arahan Nabi kepada Muaz agar tidak terlalu memanjangkan bacaan surah. Imam digalakkan untuk memanjangkan ruku’ jika mendengar ada makmum yang baru tiba, agar beliau tidak tertinggal rakaat. Imam boleh membaca panjang sedikit semasa rakaat pertama jika itu boleh mengurangkan jemaah yang masbuk. Ini adalah di antara beberapa panduan yang sangat praktikal yang patut diajarkan kepada Imam-imam masjid dan surau.
Imam dan makmum juga perlu tahu awlawiyat, keutamaan amal. Wirid dan zikir selepas solat bukan fardhu, tidak diwajibkan. Imam dan makmum boleh meninggalkannya atau memendekkannya jika ada keperluan. Apa lagi apabila ia bertembung dengan perkara yang dilarang, yakni mengganggu jemaah yang sedang solat fardhu. Imam perlu difahamkan bahawa meneruskan berzikir dan wirid dengan nyaring menyebabkan jemaah yang sedang solat sukar memperolehi khusyu’ di dalam solat mereka. Maknanya zikir yang sepatutnya mendatangkan pahala mungkin mengundang dosa.
Alangkah baiknya jika Imam sentiasa prihatin memerhatikan keadaan sekeliling bertindak mengikut apa yang dilihatnya. Mungkin di antara hikmah disunatkan Imam berpaling ke kanan atau menghadap makmum selepas salam ialah bagi membolehkan Imam memerhati keadaan makmum dan bertindak sewajarnya.