Saya melihat sebahagian kalangan yang memasarkan produk alternatif mereka kadang-kadang menghampiri kepada bentuk yang terdapat seperti yang diwar-warkan di Basilica Lourdes atau di Church of Lady Fatima atau pun orang-orang Hindu yang mandi di Sungai Gangga dengan harapan sembuh.
Walaupun jualan ubat dan terapi alternatif ini tidak khurafat dari sudut syariat, tahap keyakinan kita terhadap ‘bukti’ kebanyakan kaedah dan peranti perubatan alternatif yang dimajukan sangat rendah kerana lagi sekali, hampir sama dengan ketidak-yakinan kita terhadap ‘rawatan air gangga’. Ia tidak cukup kuat dari sudut saintifik. Ia masih bersifat kabur.
Tiada dalil naqli yang sahih diutarakan dan tiada bukti saintifik bersumberkan kaedah kajian tabiat alam yang kukuh dimajukan. Dakwaan yang menyalahi fakta saintifik terus dijaja, maklumat yang menghampiri khurafat seperti penambahan aura dan tenaga dalaman terus digembar-gemburkan.
Hasilnya, pembeli terpedaya dengan pujukan petikan-petikan testimoni terpilih yang mungkin berlaku hanya seratus kali dalam sepuluh ribu pengguna ubat atau kaedah terapi tersebut. Atau pembeli terpesona dengan nama-nama gelaran ‘bombastic’ orang yang merekacipta peranti atau terapi berkenaan.
Terdapat dua pihak di sini.
Pertama, penjual yang tidak telus dan tulus menyatakan sifat barangan atau produk yang dijual, tidak terus-terang menyatakan had atau kelemahan produknya di samping dakwaan keupayaannya.
Kedua, pengguna atau pembeli yang tidak tahu menilai samada produk atau barangan yang hendak dibeli tersebut boleh berfungsi atau beroperasi seperti didakwa oleh sipenjual dengan yakin. Pengguna akhirnya mengeluarkan wang beribu atau beratus ringgit untuk sesuatu yang tidak sebenarnya berfungsi sepenuhnya sebagaimana didakwa, walaupun mereka membelinya dengan penuh keyakinan!
Fair Trading bukan ciptaan baru, bukan dari barat. Ianya telah lama dipelopori oleh syariat Islam. Perlu ditekankan pelaksanaan syariat bermula dari diri dan keluarga, termasuk dalam muamalah dan transaksi jual-beli kita sehari-hari. Malangnya, asas penting dalam jual beli Islam ini sering dikebelakangkan.
Seperti yang saya nyatakan di dalam bahagian pengenalan siri ini, bukan tujuan saya untuk mengganggu-gugat bisness orang yang mahu menjalankan perniagaan dengan tulus dan ikhlas. Yang saya cuba lakukan ialah untuk mengajak pembaca berfikir dan menilai, samada sebagai penjual atau pembeli, sejauh manakah kita menepati kehendak syariat dalam kita menjual atau membeli pelbagai produk, kaedah, peranti yang berada di pasaran.
Allah sahajalah yang Maha Mengetahui Segala-galanya
Tamat
sama2 kita berdoa semoga kita sering tergolong dalam golongan yang mendapat redha Allah.amin
ReplyDelete